Perak Hari Ini

Wajarkah Umur 18 Tahun Diberikan Hak Mengundi?

Hak untuk mengundi dalam pilihan raya merupakan perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan badan yang mengendalikan pilihan raya dalam sebuah demokrasi berperwakilan dan dijamin di bawah Perlembagaan.

Di Malaysia, antara syarat untuk mendapatkan hak mengundi adalah seseorang itu mestilah warganegara yang mencapai umur 21 tahun dan bermastautin dalam sesuatu bahagian pilihan raya pada tarikh kelayakan adalah berhak mengundi dalam bahagian pilihan raya itu bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

21 tahun merupakan kelayakan yang ditetapkan kepada seseorang warganegara untuk mengundi dan umur itu dilihat sangat sesuai dan relevan bagi pengundi yang mahu melunaskan tanggungjawab mereka tersebut, akan tetapi kini, ada pihak yang mencadangkan agar umur itu dikurangkan daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Wajarkah cadangan umur itu dikurangkan bagi memberi peluang kepada golongan belia untuk turut serta dalam memilih siapa yang akan mentadbir kerajaan demi menjamin masa depan mereka yang cerah pada suatu hari nanti?

Seorang pesara, Yeoh Chin Huat, 69, berkata, cadangan tersebut sangat wajar diberikan kepada mereka yang berumur 18 tahun bagi memastikan masa depan mereka dapat dibela.

“Golongan muda ini merupakan generasi yang cepat belajar, ini mungkin disebabkan perkembangan teknologi yang membuka mata mereka untuk belajar mengenai dunia, jadi mereka sepatutnya diberikan peluang bagi memilih apa yang mereka mahu kerana mereka juga rakyat Malaysia yang bertanggungjawab memastikan nasib negara mereka.

“Akan tetapi, perkara berkaitan ini perlu disokong oleh kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, sebagai contoh pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5, mereka ada belajar mengenai perlembagaan Malaysia dan itu merupakan titik mula bagi golongan berumur 18 tahun untuk mengetahui bagaimana proses demokrasi di negara ini berjalan.

“Dari situ kita boleh mendidik dan mencungkil minat mereka mengenai pendidikan politik serta tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang akan membuatkan mereka bersedia untuk mengundi bila mereka habis sekolah nanti atau bila had umur mereka cukup.

“Jika mahu merealisasikan perkara ini, golongan berumur 18 tahun ini perlu diberikan penekanan dari awal lagi mengenai tanggungjawab mereka kerana golongan muda sekarang sangat pintar dan mempunyai pendapat yang hebat mengenai masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu temubual khas yang dilakukan di sekitar Bandaraya Ipoh, hari ini.

Jika dibandingkan dengan negara ASEAN yang lain seperti Indonesia dan Timor Leste, negara tersebut telah memberikan hak mengundi jauh lebih awal daripada negara kita iaitu pada 17 tahun dan ini mungkin atas faktor-faktor yang tertentu.

Seorang pelajar, Fatin Azmi, 22 , berkata, had umur mengundi yang ditetapkan selama ini perlu dikekalkan tanpa menurunkannya kepada umur yang lebih rendah.

“Saya tidak merasakan golongan berumur 18 tahun ini perlu diberikan tanggungjawab tersebut kerana pada saya mereka masih muda dan masih mencari-cari haluan hidup mereka seperti contoh minat mereka, cita-cita, dan macam-macam lagi. Jadi golongan tersebut sangat mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat sebagai contoh di media sosial, ini mungkin membuatkan mereka mengambil sikap sambil lewa terhadap tanggungjawab yang diberikan tanpa memikirkan perkara sepatutnya mereka lakukan.

“Selain itu, perkara ini dilihat mungkin akan meningkatkan jumlah orang yang tidak mengundi atau berdaftar kerana berdasarkan apa yang saya baca, lebih 3 Juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun yang diberikan peluang mengundi tetapi mereka tidak berdaftar dan ini sesuatu yang merugikan.

“Jadi apa yang dirisaukan di sini adalah peningkatan golongan yang tidak mengundi, tetapi jika kerajaan mahu juga menurunkan had umur, mereka seharusnya mencari mekanisme lain bagi menghalang masalah tersebut daripada berlaku tetapi pada saya golongan berumur 18 tahun itu tidak wajar diberikan peluang itu,” katanya.

Hal ini bukanlah sesuatu yang sukar kerana telah banyak diamalkan di kebanyakan negara di dunia ini, cuma jika perkara ini dilakukan kepada negara kita, kerajaan harus meneliti dan membangunkan model yang bersesuaian bagi memastikan keuntungan daripada apa yang dilakukan.

Perkara sebegini perlu diperhalusi lagi kerana tidak semua akan menyambut baik cadangan tersebut kerana perkara ini dilihat sebagai satu tanggungjawab yang besar dan perlu dititik beratkan demi menjamin keharmonian serta pembangunan negara berjalan dengan pesat dan seiring dengan kemajuan negara-negara lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");