Berita Hari Ini

Waspada Artikel Musuh Islam – Mufti WP

KUALA LUMPUR: Lebih 200,000 daripada 300,000 artikel mengenai Nabi Muhammad SAW di Internet dihasilkan daripada musuh Islam yang bertujuan memburukkan baginda dan agama sejak 15 tahun lalu.

Ia adalah usaha berterusan musuh Islam yang sentiasa mengkaji akhlak dan sifat Rasulullah serta membuat kesimpulan mengikut cara mereka.

Justeru, pameran artifak seperti yang berlangsung di ibu negara ketika ini diharapkan dapat memberi pengertian sebenar mengenai keperibadian Rasulullah SAW.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, ketika ini wujud golongan tidak memahami betapa baginda adalah contoh terbaik hingga ada yang sanggup mengeji dan mengata tanpa rasa bersalah.

Menurutnya, ketika di zaman Rasulullah SAW, para sahabat amat mengagumi untuk mengikutnya kerana kasihkan baginda dalam seluruh aspek kehidupan.

“Sahabat mengajuk dan meniru Rasulullah SAW seperti mana dilakukan Abdullah bin Mas’ud kerana baginda melebihi keluarga dan harta benda sendiri.

“Nabi Muhammad bukan manusia biasa, baginda adalah batu permata antara batu-batu yang banyak.

“Baginda diutuskan antara lain untuk memanusiakan manusia, memegang amanah untuk membawa rahmat,” katanya ketika merasmikan Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama pelakon Datuk Adi Putra yang juga rakan penganjur bersama.

Antara yang boleh dilihat di pameran itu ialah janggut, rambut, serban, tongkat dan tapak kaki Rasulullah SAW serta barangan lain seperti permaidani Raudah serta kiswah.

Sementara itu, Adi Putra berkata, pameran berkenaan adalah yang terbesar pernah diadakan di negara ini dan akan diadakan secara tahunan selepas ini.

Menurutnya, menerusinya orang ramai berpeluang melihat sendiri artifak yang digunakan Rasulullah SAW.

“Ia juga ruang untuk mendidik orang ramai menghayati kehidupan junjungan besar serta sahabat baginda.

“Kita akan kembangkan pameran ini ke tahap global. Justeru orang ramai dijemput hadir ke PWTC kerana pameran bermula dari 22 Julai lalu akan berakhir 4 Ogos ini,” katanya.

Pengunjung dewasa dikenakan bayaran masuk RM20, mahasiswa (RM10) serta RM5 untuk kanak-kanak lapor Harian Metro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");