IPOH: Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin meletakkan jawatannya sebagai Presiden PKNP FC berkuatkuasa hari ini.
Menerusi satu surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kehormat kelab bola sepak berkenaan, Zainol mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan kepada beliau sepanjang menduduki kerusi tersebut.
“Adalah dimaklumkan bahawa saya Datuk Zainol Fadzi Paharuddin melepaskan jawatan sebagai Presiden PKNP FC berkuatkuasa pada 22 Julai 2019.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama yang telah diberikan pihak PKNP FC sepanjang tempoh saya menjalankan amanah sebagai Presiden.
“Harapan saya semoga PKNP FC akan terus maju jaya dan cemerlang,” katanya yang telah memegang jawatan presiden sejak Oktober 2018.

Walau tidak dinyatakan secara jelas namun keputusan tersebut berkemungkinan dibuat ekoran persembahan skuad PKNP FC yang kurang memberangsangkan pada aksi Liga Super musim ini.
Pada Mei lalu Zainol berkata beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden PKNP FC sekiranya pasukan bola sepaknya keciciran mata dan seterusnya tergelincir ke Liga Perdana.
PJ City FC berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas PKNP FC di di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada aksi terakhir liga musim ini, semalam.
PKNP FC diturunkan ke Liga Perdana pada musim akan datang, selepas menamatkan kempen di tempat ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Super dengan 16 mata.