Perak Hari Ini

105 Doktor Cilik Didedahkan Dengan Ilmu Sains

IPOH: Seramai 105 kanak-kanak yang berumur antara enam ke 12 tahun hari ini diberi pendedahan terhadap ilmu sains dan kesihatan menerusi program Dr Little: Science Laboratory di Hospital Pantai Ipoh, di sini, hari ini.

Jurucakap penganjur program tersebut berkata kesemua mereka diberi pendedahan menerusi kaedah dan aktiviti yang turut melibatkan seramai 20 orang pakar dan kakitangan Hospital Pantai Ipoh.

Kesemua peserta dibahagi-bahagikan mengikut kumpulan dan kemudiannya setiap kumpulan akan dibawa melawat ke lebih daripada lima buah bilik yang setiap satunya diubah suai menjadi seakan-akan makmal sains untuk kanak-kanak.

“Program ini sebagai mahu memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang ilmu sains dan perubatan.

“Sebagai contoh kita mendedahkan kepada mereka beberapa cabang yang terdapat dalam ilmu sains seperti biologi, fizik, kimia dan sebagainya. Ini dapat memupuk minat mereka kepada bidang sains ini,” katanya.

Selain itu jelasnya, program anjuran Hospital Pantai Ipoh itu merupakan siri ketiga yang mana setiap siri penganjuran program Dr Little akan membawa tema yang berlainan.

Selain kanak-kanak, ibu bapa yang hadir juga turut diberi ruang untuk mendengar ceramah kesihatan untuk golongan dewasa yang disampaikan oleh pakar-pakar perunding kesihatan hospital berkenaan.

adun canning Jenny Choy Tsi Jen

Program yang bermula sekitar jam 8 pagi itu disempurnakan Adun Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Ketika berucap pada perasmian program, Jenny berkata beliau menyambut baik inisiatif yang dijalankan Hospital Pantai Ipoh dalam usaha memberi pendedahan dalam menjalani kehidupan secara sihat menerusi aktiviti yang menarik.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan khususnya dalam memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang ilmu kesihatan selain dapat melibatkan pelbagai golongan komuniti.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak agar dapat berkongsi kepada ahli keluarga dan ahli komuniti yang lain tentang usaha yang telah dibuat ini khususnya dalam menambahbaik ilmu kesihatan kanak-kanak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");