Berita Hari Ini

Ada Usaha Pecah Belah, Lemah Perpaduan Rakyat: PM

SHAH ALAM – Perdana Menteri hari ini mendedahkan ada cubaan daripada pihak tertentu untuk memecahbelahkan dan melemahkan perpaduan antara rakyat di negara ini, namun kerajaan berjaya mempertahankannya bagi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu dalam kepelbagaian kaum.

Berucap merasmikan 10th University Scholars Leadership Symposium 2019, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara ini menjadi tempat tinggal pelbagai bangsa sesuai dengan jolokan Malaysia Truly Asia yang bukan sekadar slogan promosi tetapi realiti sebenar apa ditawarkan kepada pelancong.

“Kami berbangga dengan kepelbagaian bangsa dan mengubahnya daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada negara industri,” katanya di sini hari ini.

Katanya, adalah menjadi suatu perkara penting bagi belia yang akan mewarisi masa depan menyedari bahawa idea dan nilai yang dimiliki mereka perlu terus dikekalkan bagi mengembalikan dunia ke landasan asal.

“Usaha dan sumbangan ikhlas yang diberikan kepada bangsa, pastinya negara itu akan diberkati kerana memiliki rakyat yang bertanggungjawab.

“Nilai mulia penting dalam pembangunan. Saya percaya jika kita mempunyai nilai-nilai yang baik dan sematkan dalam diri menjadi cara hidup ia akhirnya akan menjadi suatu kebiasaan. Secara tidak langsung masyarakat kita berada di landasan betul,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Malaysia telah memberikan penekanan khusus kepada keperluan belia bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 kerana pelbagai sektor akan mengalami perubahan cara kerja.

“Saya ingin mengingatkan diri sendiri dan generasi muda bahawa sekiranya kita tidak mengikuti perkembangan semasa, kita akan ketinggalan dalam perlumbaan global yang akan menyebabkan kemunduran ekonomi dan kemiskinan,” katanya.

Jelasnya, pemimpin yang baik bukan hanya perlu menjadi seorang yang bijak sebaliknya mempunyai keupayaan bagi membezakan sama ada benar atau salah.

“Setiap orang adalah pemimpin tidak kira diperingkat keluarga, kelab ataupun pasukan bola sepak. Begitu juga dalam bidang pekerjaan, apa awalnya kita bermula daripada bawah tetapi akhirnya akan menjadi ketua.

“Kepimpinan adalah proses pembelajaran dan pengalaman sepanjang hayat. Isunya adalah bagaimana kita menjadi seorang pemimpin. Apa impaknya dan berapa banyak ia menyentuh kehidupan orang lain,” katanya.

Tambahnya, perkara berkaitan bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik boleh dicari dan dibaca di internet tetapi soal kepimpinan ini bukan seperti sains roket.

“Ia adalah mengenai nilai setiap hari. Nilai-nilai ini pada saya menentukan dan membentuk pemimpin.

“Pertama, pemimpin mesti mempunyai integriti dan kejujuran. Tanpa nilai ini, mereka yang menjadi pemimpin tidak boleh dipercayai,” katanya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");