Sukan Hari Ini

Aduriz Cemar Aksi Sulung Griezmann

Barcelona melangkah ke aksi pembuka tirai La Liga menentang Athletic Bilbao dengan membariskan muka baharu antaranya bintang termahal namun mereka terpaksa tunduk kepada jaringan lawan yang cukup mereka kenali.

Aritz Aduriz berada di padang tidak sampai seminit apabila memusingkan badannya untuk menyambut hantaran Ander Capa dan menggegar jaring menerusi sepakan gunting pada minit ke-89, memberikan Bilbao kemenangan 1-0 ke atas juara bertahan itu.

Penyerang berusia 38 tahun itu pernah menjaringkan hatrik ke atas Barca ketika menang 4-0 pada aksi Piala Super Sepanyol 2015 dan kali ini dia berjaya menenggelamkan penampilan sulung pemain baharu Barca, Antoine Griezmann dan Frenkie de Jong.

Jurulatih Barca Ernesto Valverde pernah bekerja dengan Aduriz selama empat musim ketika bersama Athletic dan beliau tahu ke mana haluan bola ketika ia menuju kepada penyerang kelahiran Basque yang dijangka menggantung butnya pada akhir musim.

“Apabila saya melihat gerakannya ketika meledak gol, saya tahu ia akan berlaku, ia satu aspek yang benar-benar beliau kuasai dan saya tidak terkejut dengan jaringan itu,” kata Valverde.

“Ketika Aduriz berada di padang, setiap bola yang melintasi kawasan itu adalah berbahaya dan dia menjaringkan gol hebat.”

Jurulatih Athletic Gaizka Garitano menganggap Aduriz sebagai pemain yang kompetitif.

“Dia yang pertama turun berlatih dan terakhir meninggalkan latihan. Anda mungkin kehilangan kejituan seiring perkembangan usia tetapi anda tidak pernah hilang keinginan untuk kekal kompetitif,” katanya.

“Ia satu gol yang menakjubkan. Biarpun berusia 38 tahun dia mempunyai kualiti unik ketika menguasai bola dan dia membantu kami menang perlawanan.

“Dia adalah pemain yang biarpun semakin berusia tetapi masih mampu menghidangkan kelainan dalam perlawanan.”

Ini adalah musim ke-15 berturut-turut Aduriz menjaringkan gol dalam La Liga dan ini adalah jaringan ke-158 keseluruhan memetik HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");