Perak Hari Ini

Ahli Dewan Belia Diseru Terus Bantu Sumbangkan Idea Kepada Kerajaan Negeri

IPOH – Ahli Dewan Belia Perak diminta tidak hanya sekadar melontarkan sesuatu hujah dalam sesi Persidangan Dewan Belia tetapi mereka juga diseru untuk bertindak secara proaktif dalam memberi sumbangan kepada Kerajaan Perak untuk memajukan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata segala usul atau cadangan yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Belia perlu dijadikan perjuangan supaya ia dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Sekurang-kurangnya menerusi persidangan ini, ia dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar hasil idea atau suara daripada generasi muda.

“Saya juga telah meminta Ahli Dewan Belia supaya membentangkan kad laporan kepada saya mengenai sumbangan dan pencapaian mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dan program yang dilaksanakan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Belia Perak Yang Kedua 2018 berlangsung selama dua hari di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Howard berkata beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan dalam persidangan kali ini antaranya usul yang dibentangkan dan dibahaskan akan dijadikan input kepada dasar kerajaan negeri.

Tambah beliau, segala usul yang telah diluluskan akan dibawa secara rasmi ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) serta laporan tindakan usul akan menjadi laporan ‘standard ‘ dan dimaklumkan ke Dewan Belia supaya semua ahli mendapat maklumat tindakan usul.

Ujar Howard, sebanyak lima usul akan dibentangkan dan dibahaskan Ahli Dewan Belia pada persidangan kali ini.

Jelas beliau usul yang disenaraikan adalah penubuhan Perak Volunteer Community bagi merancakkan penglibatan dan aktiviti sukarelawan belia berstruktur dan Perak Heritage Trail wadah pemeliharaan dan pemuliharaan tempat bersejarah di negeri ini.

“Di samping itu, turut diusulkan adalah pemerkasaan aliran vokasional dalam kalangan pelajar sekolah menengah, memperluas dan memperkasa Perak Youth Hub ke setiap daerah serta usaha kerajaan negeri menjadikan negeri mesra alam tanpa beg plastik,” katanya.

Sementara itu Howard berkata perancangan dan keahlian perwakilan Dewan Belia Perak akan berakhir pada 31 Disember tahun ini dan proses pemilihan ahli baru akan dilakukan pada tahun hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");