Berita Hari Ini

Anggota Kabinet Puji Perpaduan Rakyat Dalam Sambutan Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA – Sikap patriotik dan komitmen rakyat berbilang kaum meraikan Hari Kebangsaan 2019 hari ini mendapat pujian menteri-menteri Kabinet yang melahirkan harapan ia menjadi pemangkin untuk membangunkan negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata sambutan acara perbarisan dan perarakan di Putrajaya hari ini menjadi platform kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk bersatu dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-62.

“Kepelbagaian bukan harus dilihat sebagai satu masalah dalam negara tapi satu aset terpenting dalam membangunkan negara yang tercinta,” katanya, lapor Bernama.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pula berkata kerajaan sedar isu perpaduan sememangnya satu cabaran yang perlu dihadapi negara berbilang kaum seperti Malaysia namun beliau yakin rakyat secara keseluruhannya akan bersama kerajaan untuk mempertahankan perpaduan negara.

“Kita berharap sempena hari kebangsaan ini akan mengingatkan kepada semua rakyat malaysia bahawa perpaduan dan keamanan dalam negara kita adalah sesuatu yang sangat bernilai dan kita tak boleh berkompromi dalam apa yang telah kita kecapi,” katanya.

Loke turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang terus memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan dan menjaga keselamatan negara.

Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang datang ke Dataran Putrajaya untuk meraikan sambutan hari kebangsaan 2019 merupakan satu semangat yang baik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam mempamerkan rasa cinta kepada tanah air.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pula berkata dua perkara penting dilihat sangat ditonjolkan pada sambutan kali ini iaitu usaha membasmi rasuah selaras dengan tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

“Kedua, kita sudah mula melaungkan bangkit Harimau Asia seolah-olah menyuntik semangat baharu untuk kita kembalikan kegemilangan negara di persada Asia,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong tema yang dipilih tahun ini begitu sesuai dalam usaha kerajaan membanteras rasuah bagi memastikan generasi akan datang lebih selamat dan terjamin.

“Harapan saya kita dapat pastikan ekonomi kita dapat pulih lebih baik untuk pastikan kita memberikan peluang pekerjaan kepada semua anak muda di mana kita dapat menjadi Harimau Asia,” kata Liew.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");