Membawang Hari Ini

Anita Sarawak Tak Mahu Diganggu?

Di manakah Anita Sarawak? Itu antara persoalan yang masih belum terungkai sejak sembilan tahun lalu selepas penghibur bertaraf superstar itu meninggalkan kediamannya di ibu negara, secara tiba-tiba.

Selain menghilang tanpa pesanan, panggilan telefon mahupun e-mel rakan karib juga tidak berbalas, mencetuskan pelbagai persoalan mengenai penghibur kesayangan ramai itu.

Kegusaran peminat berganda apabila keluarga Anita juga enggan membuka mulut setiap kali ditanya mengenai penyanyi itu. Mereka lebih senang mengelak daripada berbicara mengenai Anita atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib.

Susulan itu, pelbagai andaian timbul, termasuk dakwaan dia sakit teruk, selain dikatakan sudah bercerai dengan suami keempat, Martin Cox atau Mohammad Mahathir Abdullah dan tidak lagi tinggal di Amerika Syarikat (AS).

Enggan dibelenggu persoalan, penulis yang mempunyai tugasan di Los Angeles (LA), pertengahan bulan lalu mengambil keputusan mencari penghibur kesayangan ramai itu di Las Vegas.

Ditemani suami yang menjadi pemandu, kami memulakan misi pada hari ketiga, berpandukan alamat kediaman yang sudah disimpan kemas dalam telefon bimbit.

Seawal jam 6.30 pagi, kami keluar dari Hotel Planet Hollywood, Vegas Strip untuk ke kawasan yang dipercayai kediaman baharu Anita.

Hampir setengah jam memandu, kami berhenti di sebuah kediaman yang mempunyai halaman kecil dan dihias cantik dipercayai didiami Anita.

Penulis pada awalnya, agak cuak untuk memulakan langkah. Pelbagai perasaan menyapa. Di sebalik teruja, terselit juga kebimbangan jika kehadiran tidak diterima kerana datang tanpa dipelawa.

Gusar juga jika alamat yang diperoleh hasil pencarian menerusi beberapa sumber tidak tepat. Demi misi dan tugas, perasaan itu diketepikan sebaik kenderaan kami memasuki kawasan perumahan elit, dilatari pemandangan bukit dan gurun.

Penantian kira-kira 10 minit di hadapan rumah yang dikatakan dihuni Kak Nita itu hampa. Ditambah cuaca panas menjangkau 43 darjah Celsius, sedangkan jam baru menunjukkan 7 pagi, membuatkan penulis dan suami bergerak ke stesen minyak berhampiran.

Barangkali disebabkan hari bekerja dan cuaca terlalu panas, tidak kelihatan kelibat sesiapa atau kenderaan keluar masuk di kawasan perumahan itu, kecuali di lorong bersebelahan.

Beberapa pekerja kontraktor dilihat sedang melakukan pengubahsuaian, membuatkan penulis memutuskan untuk menunggu di laluan masuk ke kawasan perumahan itu.

Penantian itu satu penyiksaan. Cuaca yang semakin panas, membuatkan kepala penulis berdenyut-denyut hingga hampir berputus asa.

Namun, kami ambil keputusan untuk terus menunggu dan memberi tempoh sehingga jam 10 pagi sebelum meninggalkan kawasan kejiranan itu.

Penulis bagaimanapun, menarik nafas lega apabila terlihat dua kenderaan SUV memberi isyarat memasuki lorong berkenaan dan pantas mengejarnya.

Daripada SUV hitam, turun seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang kebetulan menghuni lot bertentangan, selang empat pintu daripada rumah yang dikatakan milik Anita.

Selesai memperkenalkan diri, penulis membuka bicara, sama ada wanita itu mengenali individu bernama Anita Sarawak. Penulis turut memaklumkan, enggan terus ke kediaman itu kerana bimbang Anita terkejut kerana datang tanpa terlebih dahulu memaklumkan kepadanya.

Tanpa disangka, wanita itu memaklumkan, kenderaan di hadapannya tadi adalah milik Anita dan dipandu penghibur itu. Bagaikan mimpi, penulis sama sekali tidak menyangka wanita berambut perang dan berkaca mata itu ialah Anita Sarawak.

Enggan membuang masa, wanita itu meminta penulis ke rumah Anita, sambil memaklumkan akan menghubungi penyanyi itu menerusi telefon bimbit.

Hampir lima langkah untuk sampai ke rumah dimaksudkan, hati penulis berbunga melihat pintu garaj terbuka.

Kenderaan tadi kelihatan sedang mengundur untuk keluar, tetapi masuk semula selepas beberapa saat. Darjah keterujaan penulis semakin meningkat dan tanpa berlengah, segera menuju ke pintu kediaman untuk memberi salam dan memanggil nama Anita.

Kedengaran bunyi dari dalam, menandakan kediaman itu berpenghuni. Namun, hampir 10 minit menanti, tiada langsung sahutan atau tanda pintu bakal dibuka.

Masih menaruh harapan, penulis berjalan semula ke rumah jirannya dan sekali lagi meminta bantuan untuk menghubungi Anita. Wanita itu mendakwa, dia rapat dengan Anita sejak berpindah di kawasan itu pada 2017.

Katanya, Anita sangat peramah, baik hati dan mudah mesra.

“Setahu saya, Anita tidak lagi bekerja dan banyak menghabiskan masa di rumah. Suaminya pula, masih mengendalikan urusan jual beli hartanah.

“Kami jarang berjumpa disebabkan sibuk dengan urusan masing-masing, tetapi selalu bertegur sapa jika bertembung.

“Kami juga kerap berbual menerusi telefon. Hanya nombor Anita yang simpan sejak tinggal di kawasan perumahan ini,” dakwanya.

Terus cuba membantu, barangkali kasihan melihat penulis yang datang dari jauh, wanita itu berusaha lagi menghubungi Anita, tetapi talian memasuki peti simpanan suara.

Bimbang jika permintaan itu menimbulkan curiga, penulis menjelaskan kepadanya, kunjungan ke situ sekadar inginkan kepastian mengenai keadaan Anita.

“Berdasarkan pemerhatian saya, Anita dalam keadaan sihat. Tiada tanda dia sakit, selain menjalani kehidupan biasa sama seperti jiran tetangga lain.

“Martin juga disenangi jiran, malah mereka pasangan yang baik dan mesra dengan penduduk di sekitar,” katanya ketika ditanya mengenai kesihatan Anita dan keakraban pasangan itu.

Enggan mengambil masa terlalu lama, penulis turut meninggalkan kad perniagaan, berserta permohonan maaf jika kunjungan itu kurang disenangi.

Sebelum berlalu, wanita terbabit menerima satu panggilan dan meminta penulis menunggu seketika. Sambil meminta maaf, dia mendakwa, Anita baru menghubungi dan menyatakan, sudah berpindah ke kediaman baharu, tetapi terlupa untuk memberitahu.

Pelbagai perasaan menyelubungi ketika itu. Sedih kerana tidak dapat bertentang mata dengan Anita, walaupun hanya lima langkah memisahkan kami.

Namun, pada masa gembira apabila mengetahui dia sihat dan masih bahagia bersama suaminya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");