Sukan Hari Ini

Apek Berkemungkinan Terlepas Aksi Pertama Piala Malaysia

MELAKA – Penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat berkemungkinan terpaksa melupakan aksi sulung kempen Piala Malaysia menentang PDRM FA malam esok di Stadium Hang Jebat, berikutan masalah kecederaan.

Pemain yang lebih dikenali ‘Apek’ sebelum ini tidak dapat diturunkan dalam dua aksi terakhir Liga Super ( 20 Julai) ketika bertemu PKNS FC dan Pahang selepas mengalami kecederaan di tumit.

Bagaimanapun, penjaga gol kebangsaan itu berkata, sesiapa sahaja yang diberi kepercayaan menggalas tugas itu mampu melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan mencari kemenangan dalam saingan peringkat Kumpulan D.

“Bagi keadaan saya masih belum pasti dapat pulih sepenuhnya pada perlawanan pertama ini dan menunggu pengesahan pegawai perubatan berkaitan tahap kecederaan sebelum dibenarkan kembali beraksi.

“Kami semua pemain memang sentiasa bersedia dari mental dan fizikal untuk perlu perlawanan Piala Malaysia ini, dan sekiranya penjaga gol lain diturunkan, saya tetap akan memberikan semangat dan berharap mereka lakukan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.

Tugas menjaga gawang gol itu sebelum ini diambil alih Solehin Mamat yang diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu.

Sementara itu, Solehin berkata, sekiranya diberi kepercayaan oleh Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan untuk menggunakan khidmatnya dalam perlawanan itu, dia akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk lakukan yang terbaik.

Peluang beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan untuk meraih mata penting bagi memastikan pasukan mengumpul mata maksimum di peringkat kumpulan untuk melepasi pusingan seterusnya.

“Memandangkan Apek masih lagi cedera, saya dan seorang lagi penjaga gol, Oscar (Wong Tse Yeung) perlu bekerja keras untuk kempen Piala Malaysia ini.

“Kita difahamkan ada pemain utama PDRM yang mengumpul kad merah dan tidak dapat beraksi, selain peluang bermain di tempat sendiri, itu peluang tidak boleh dipersia-siakan,” katanya.

Melaka United diundi dalam Kumpulan D bersama Selangor dan Felda United serta PDRM bagi merebut piala berpestij dalam saingan bola sepak tempatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");