Perak Hari Ini

Armada Bersatu Perak Cabar NGO Sekat Buktikan Dakwaan Mereka

IPOH- Armada Bersatu Perak berpandangan bahawa Ketua Armada Bersatu Kebangsaan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu melayan tuntutan daripada Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) yang menuntut supaya Syed Saddiq menarik balik perkataan “bodoh sombong” yang ditujukan kepada kumpulan tersebut.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata Sekat bukanlah kumpulan yang wajar dilayan kerana mereka membuat kenyataan yang disifatkan sebagai tidak bijak dengan membuat tuduhan melulu kononnya pengenalan pengenalan tulisan Jawi kepada sekolah di seluruh negara adah sebagai usaha menerapkan agama Islam dalam kalangan pelajar aliran sekolah vernakular.

“Kami mencabar Sekat untuk membuktikan fakta bahawa pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tahun 5 sejak beberapa tahun lalu telah menyebabkan ramai pelajar bukan Islam di sekolah vernakular menukar agama mereka.

“Jika tidak ada bukti, ini bermakna kenyataan Sekat adalah tidak bijak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan telah mengeluarkan kenyataan di Twitter miliknya bahawa tindakan Sekat yang mahu mengugut untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana membantah pembelajaran tulisan Jawi sebagai sikap “bodoh sombong”.

Selain itu kata Mohd Hafez, adalah lebih baik kumpulan tersebut memberi tumpuan kepada usaha bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan kalangan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, termasuk mengurangkan masalah ponteng dan keciciran pelajar.

“Mengugut untuk mengajak para pelajar sekolah untuk ponteng bukan sahaja perbuatan tidak produktif, malah merosakkan pemikiran para pelajar.

“Masyarakat Malaysia sama sekali tidak menerima sebarang kumpulan pendesak yang menggunakan isu pendidikan untuk mencapai matlamat peribadi yang sempit lagi dangkal,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");