Membawang Hari Ini
Like

‘Biar Rugi Asalkan Tak Tanggung Malu’

August 19, 2019
405 Views
0 Comments
2 minutes read
‘Biar Rugi Asalkan Tak Tanggung Malu’

KUALA LUMPUR: Tiga tahun terperap, pengarah dan pelakon, Opie Zami, 45, pernah terfikir filem kedua arahannya, Kron berkemungkinan tidak ditayangkan apabila berdepan pelbagai masalah ketika proses pembikinan.

Opie berkata, masalah dihadapi, terutama membabitkan aspek teknikal berkaitan imej janaan komputer (CGI) hampir membuatkan dia berputus asa dan serik menghasilkan filem fiksyen.

“Selepas menonton hasil akhir filem ini, saya tidak berpuas hati dengan kualiti CGI yang dihasilkan, jadi saya perlu mencari alternatif untuk memastikan ia memenuhi standard yang saya harapkan.

“Saya pernah memberitahu rakan kongsi, jika itu hasilnya, lebih baik filem ini tak ditayangkan. Saya sanggup tanggung rugi daripada malu.

“Saya diuji pelbagai dugaan, malah sangat tertekan untuk menyiapkan filem ini. Namun, saya dipertemukan dengan insan yang berhati mulia dan sudi membantu iaitu Lil Studio.

“Mereka sedia memperbetulkan kelemahan dan kekurangan, terutama pada aspek CGI. Saya hargai jasa mereka yang ada bersama ketika berdepan kekangan bajet,” katanya.

Opie atau nama sebenarnya Mohd Soupi Azmi mengakui, untuk berjimat, dia sanggup melakukan dua kerja serentak iaitu mengarah dan berlakon dengan membawakan watak Kitoi.

“Memang ia memberikan tekanan besar, tetapi saya kena berjimat. Jika menggunakan khidmat pelakon lain, saya mungkin perlu mengeluarkan belasan ribu ringgit untuk membayarnya.

“Nilai itu besar untuk penerbit kecil seperti saya. Saya perlu berkorban dalam banyak perkara, tetapi semua itu untuk kepentingan produksi ini,” katanya.

Filem terbitan Opyglobal Pictures yang dibintangi Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka, Ellie Suriaty dan Mamak Puteh itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 22 Ogos ini.

Kron menjalani penggambaran selama 28 hari Baling, Kedah dan Kuala Langat, Selangor pada akhir 2016. Opie yang pernah mengarahkan filem komedi seram, Kecoh! Hantu Raya Tok Chai juga muncul dengan filem Warkah yang ditayangkan bermula 15 Ogos lalu.

Komen & Pendapat

Comments are closed.