Perak Hari Ini

CBP Dekati Komuniti, Kongsi Ilmu Pengurusan Kewangan

IPOH: Pelbagai program yang sedang dan akan berjalan oleh Co-op Bank Pertama (CBP) dalam usaha mendekati masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang komuniti.

Ketua Pegawai Pelaburan CBP Mohd Faris Kamarudin berkata salah satunya ialah program Sembang Santai Bersama Ketua Pegawai Eksekutif yang menyasarkan antaranya golongan pendidik.

Katanya program jelajah yang memasuki siri ke enam itu merupakan usaha CBP dalam berkongsi ilmu berkenaan pengurusan kewangan.

Tambahnya program tersebut juga sebagai langkah memperkenalkan lagi kepada umum terhadap proses penjenamaan semua organisasi tersebut yang dibuat pada tahun lalu.

“CBP ini sedang melalui fasa pasca penjenamaan semua dan oleh sebab itu kita mahu terus mendekati komuniti.

“Sebagai sebuah institusi perbankan dan kewangan, kita berasa bertanggungjawab untuk berkongsi ilmu berkenaan pengurusan kewangan kepada komuniti.

“Produk-produk perbankan ini tujuannya memberi penyelesaian kepada beberapa masalah seperti masalah berkaitan kewangan, taraf hidup dan sebagainya. Dan kami di sini membantu untuk mewujudkan kesedaran itu melalui perkongsian ilmu,” katanya.

Jelasnya lagi CBP sedang merancang memperkenalkan satu segmen baharu bagi mendekati komuniti Orang Asli yang dijangka akan diadakan di Cameron Highlands pada masa akan datang.

Selain itu menurut Mohd Faris, CBP juga sedang giat berusaha dalam membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara.

Pada masa sama katanya CBP juga sedang berusaha bagi meluaskan lagi inisiatif sekolah angkat yang telah bermula sejak tahun 2016.

Jelasnya di Perak, CBP mempunyai empat buah sekolah angkat yang mana tiga daripadanya berada di bawah CBP Cawangan Ipoh dan satu di CBP Cawangan Taiping.

“Salah satu kriteria sekolah yang untuk dipilih ini ialah pencapaian akademik, kokurikulum serta sumbangannya kepada masyarakat setempat. Mungkin ada sekolah itu berada dalam satu kawasan yang kecil. Kita lihat juga dari segi keperluan.

“Tetapi jumlahnya sentiasa meningkat. Sebagai contoh pada April tahun lalu kita mempunyai 43 sekolah angkat namun kini kita sudah ada 69 sekolah angkat. Kita menyasarkan setiap cawangan itu mempunyai tiga atau empat sekolah angkat.

“Dan kita juga akan pantau pencapaian dan prestasi sekolah angkat ini. Kita akan lihat mana yang boleh dibantu dan bantuan yang kita berikan adalah berterusan. Tidak sekadar ‘one off’,” katanya.

Jelasnya lagi bantuan yang diberikan CBP tidak tertumpu kepada bentuk dana sebaliknya organisasi tersebut turut akan membantu antaranya membawa penceramah terkenal, Ustaz Don Daniyal ke sekolah-sekolah yang terpilih bagi meningkatkan daya motivasi para pelajar dalam menghadapi peperiksaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sembang Santai Ketua Pegawai Eksekutif CBP di Hotel Tower Regency di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");