Berita Hari Ini
Like

Dr M: Anti-Lynas Macam Bantah Jambatan P Pinang Dulu

August 18, 2019
296 Views
0 Comments
2 minutes read
Dr M: Anti-Lynas Macam Bantah Jambatan P Pinang Dulu

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyamakan gerakan anti-Lynas yang menentang kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan seperti bantahan ketika kali pertama kerajaan mencadangkan untuk membina jambatan Pulau Pinang dahulu.

“Ingat tak jambatan Pulau Pinang? Ketika kami hendak bina jambatan Pulau Pinang, terdapat banyak bantahan… mendakwa ia membazirkan wang…

“Selepas itu, kerajaan negeri pun bina lagi jambatan dan kemudian (hendak) bina pula terowong,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Pembinaan jambatan Pulau Pinang bermula pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985. Pembinaan laluan kedua ke pulau itu, Jambatan Sultan Abdul Halim Madzam Shah bermula pada tahun 2008 dan siap pada tahun 2013.

Kerajaan Pulau Pinang sedang merancang laluan ketiga melalui terowong bawah laut.

Mahathir mengulas kritikan terhadap kerajaan kerana melanjutkan lesen operasi Lynas selama enam bulan lagi dengan syarat-syarat yang lebih ketat.

“Kami telah hantar pakar-pakar ke tempat itu. Para pakar mengatakan tidak ada bahaya, tetapi kita terus bertegas bahawa terdapat bahaya. Ini susah untuk kerajaan membuat keputusan.

“Pandangan orang ramai adalah satu perkara, pandangan pakar pula satu perkara lagi. Adakah kamu menuruti pandangan popular atau adakah kamu mengikut pandangan pakar?

“Jika kamu menuruti pandangan popular, tiada apa yang kamu boleh lakukan kerana setiap kali kami bercadang melakukan sesuatu, akan sentiasa ada beberapa orang yang menentangnya,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan kilang Lynas bukan seperti loji nuklear Chernobyl.

“Ini bukan Chernobyl. Chernobyl ya berbahaya. Ini tidak bahaya.

“Kakitangan yang bekerja di sana, 700 pekerja yang berkelayakan mereka tidak merungut (bantahan). Tetapi orang lain, ada jiran-jiran pula bersungut,” katanya lagi.

Pagi tadi, kira-kira 500 orang berkumpul di Taman Gelora, Kuantan bagi membantah keputusan kerajaan melanjutkan lesen operasi Lynas untuk tempoh enam bulan lagi.

Komen & Pendapat

Comments are closed.