Berita Hari Ini

Elaun Latihan Praktikal Kerajaan Naik Kepada RM900 Sebulan – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan akan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu diputuskan kerajaan dalam mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet anak muda, pada Khamis.

Katanya, peningkatan kadar elaun lebih tiga kali ganda itu akan mula berkuat kuasa pada 1 September depan.

“Alhamdulillah, kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar elaun bagi pelatih praktikal daripada RM1.60 sejam kepada RM5 sejam, iaitu peningkatan lebih 3 kali ganda.

“Sebelum ini bayaran elaun adalah sekitar RM300 sebulan, ia akan dinaikkan kepada kira-kira RM900 sebulan.

“Ini satu penambahbaikan yang sangat bagus. Sebelum ini daripada tiada bayaran langsung kepada RM15 sehari, dan sekarang kepada kira-kira RM45 sehari,” katanya menerusi rakaman video di akaun Twitter rasminya, pada Khamis, lapor BH Online.

Menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai berita baik kepada anak muda, Syed Saddiq menegaskan pihaknya akan melipat gandakan usaha untuk memberikan yang terbaik buat anak muda di Malaysia.

Pada 25 Julai lalu, Syed Saddiq dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju memperkenalkan semula pembayaran elaun kepada pelatih praktikal yang berkhidmat di bawah kerajaan.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan berkata, skim pembayaran kepada pelatih akan dinilai mengikut beberapa kriteria yang akan ditetapkan dan ia akan dilaksanakan bagi kemudahan pelatih.

“Ini adalah permulaan kepada dasar untuk mewajibkan latihan praktikal berbayar dan saya berharap ia akan ditetapkan sebagai satu standard di Malaysia yang merentasi sektor awam dan swasta,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");