Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, lima sekeluarga yang maut ialah Azhar Ahmad, 57; kakaknya, Habibah 62; isteri Azhar yang hanya dikenali sebagai Halimaton, 24, dan dua anak perempuan Azhar iaitu Alia, 17, dan Alissa, 15.

Turut maut di tempat kejadian ialah pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Mitsubishi Triton yang masih belum dikenal pasti identitinya, manakala penumpang perempuan dipercayai anak mangsa mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Abd. Aziz berkata, kemalangan berlaku selepas Mitsubishi Triton itu yang dalam perjalanan dari arah Simpang Ampat ke Bandaraya Melaka telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan pacuan dinaiki dua beranak itu kemudian bertembung dengan sebuah treler tanpa muatan dan sebuah lagi kenderaan pacuan jenis Isuzu D-Max dinaiki lima sekeluarga itu.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Mitsubishi Triton dan kesemua lima beranak yang menaiki Isuzu D-Max meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah kerana tersepit.

“Seorang penumpang perempuan dipercayai anak pemandu Mitsubishi Triton terbabit terselamat, namun mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, kesemua mayat telah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 lapor Kosmo Online.