Membawang Hari Ini

Faizal Belum Ucap Selamat Tinggal Kepada Dunia Muzik

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir, menyangkal tanggapan konon keengganannya menghasilkan album selepas kemunculan Rojak sebagai petanda bakal bersara daripada arena muzik.

Menurut Faizal atau nama lengkapnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 41, bidang itu masih menjadi kecintaannya, malah dia akan tetap menghasilkan lagu selagi diperlukan.

“Ramai orang menyangka saya mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni apabila menyatakan hasrat enggan lagi menghasilkan album. Memang benar, Rojak ialah album terakhir, tetapi saya masih mahu aktif dalam bidang penciptaan lagu.

“Sekarang, peminat muzik tidak lagi membeli album fizikal.

“Keputusan ini juga dibuat kerana saya mahu memperlahankan kerjaya nyanyian. Pada usia sekarang, saya akui stamina tidak lagi seperti dahulu. Namun, ia bukan bermakna saya tak mahu menyanyi langsung. Cuma, saya akan pilih persembahan bersesuaian, selain melihat matlamat acara itu diadakan,” katanya kepada BH Online.

Menurut bintang kelahiran program One in a Million musim pertama ini, dia juga mahu lebih fokus pada keluarga dan misi kemanusiaan.

“Saya akui, kesibukan kerja membuatkan saya terlepas menikmati detik indah melihat anak membesar.

“Tahun lalu juga, berikutan terlalu sibuk dengan kerja di studio, tiada misi kemanusiaan sempat saya laksanakan. Jadi, selepas ini, saya akan mempunyai lebih masa untuk kedua-dua perkara berkenaan,” kata penyanyi yang kini popular dengan lagu Ratu.

Mengenai pemilihan rojak sebagai judul album terakhirnya, Faizal berkata, ia menggambarkan identiti Malaysia.

“Selain konsep muzik yang tiada kesinambungan, album ini juga menjadi penghargaan saya buat rakyat Malaysia, khususnya. Kita semua adalah rojak. Saya sendiri baru sahaja dapat tahu, keturunan saya mempunyai darah Cina dan Acheh.

“Apabila saya mengembara pula, saya dapat lihat banyak kelebihan wujud di Malaysia, tetapi tiada di negara lain. Perkara itulah yang membuatkan kita semua istimewa,” katanya.

Rojak yang dilancarkan pada 2 Ogos lalu menampilkan sembilan lagu pelbagai genre, antaranya Ragaman, Kamu, Bisa Aja, Until We Meet Again, Starfeather, Ratu dan Fire & Water.

Sempena kemunculan album itu juga, lukisan mural diabadikan di sebuah bangunan di ibu negara, yang ditandatangani penyanyi terbabit. Ia dihasilkan oleh pelukis terkenal, Katun, atau nama sebenarnya Ab Hafiz Ab Rahman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");