Sukan Hari Ini

FAM Sasar Tiket Separuh Akhir Untuk Skuad Wanita Negara

PETALING JAYA – Skuad wanita negara disasarkan untuk merebut slot separuh akhir Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Chonburi, Thailand, bermula 15 hingga 27 Ogos ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata walaupun skuad negara berdepan cabaran sengit daripada beberapa pasukan dalam Kumpulan A, beliau yakin skuad kendalian Jacob Joseph mampu melakar kejutan untuk ke separuh akhir.

“Penting untuk kita mempunyai keyakinan tinggi untuk melakar kejayaan, namun ingin saya ingatkan tiada jalan mudah untuk berjaya,” katanya selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama skuad wanita negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, lapor Bernama.

Mengulas lanjut, Hamidin menjelaskan, keputusan yang diraih skuad wanita negara menjadi kayu pengukur oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sama ada diletakkan dalam kategori A atau B ke Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal sebelum ini berkata keputusan sama ada skuad bola sepak wanita diletakkan dalam kategori A atau B ke Sukan SEA 2019 bergantung kepada keputusan pada kejohanan AFF itu.

Penyertaan dalam kategori A ditanggung sepenuhnya oleh MOM manakala persatuan sukan kebangsaan perlu mendahulukan wang perjalanan untuk kategori B. MOM akan membayar wang perjalanan berkenaan sekiranya atlet di bawah persatuan sukan berkenaan meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara empat kali, Thailand selain Singapura, Filipina dan Timor Leste.

Juara dua kali, Vietnam dan Myanmar pula diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Kemboja.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Filipina pada 15 Ogos, Singapura (19 Ogos), Timor Leste (21 Ogos), sebelum melengkapkan pusingan awal menentang Thailand, pada 23 Ogos ini.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada Kumpulan A dan B mara ke peringkat separuh akhir.

Tahun lalu, Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga di belakang Thailand, selaku juara kumpulan dan Australia di tangga kedua.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan berkenaan adalah tempat keempat pada edisi 2007 setelah kalah 0-6 kepada Vietnam pada aksi penentuan ketiga/keempat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");