Perak Hari Ini

Gelisah Rakan ‘Hantar’ Samseng Ganggu Rumah

IPOH: Seorang lelaki hidup dalam kegelisahan dan ketakutan apabila sering diganggu panggilan yang tidak dikenali selain rumahnya di Tambun, dekat sini kerap didatangi sekumpulan samseng.

Teng Hwa Lin, 50 berkata ia bermula apabila dia dan seorang lagi rakannya menyertai sebuah pelaburan atas talian pada tahun lalu namun malangnya syarikat pelaburan tersebut dikatakan telah gulung tikar beberapa bulan kemudian.

Katanya mereka berdua berurusan menggunakan satu akaun bank iaitu milik Hwa Lin dan rakanya pula membuat pelaburan sebanyak 60, 000 dolar Amerika Syarikat (AS) atau bersamaan sekitar RM240,000.

Ujar pekerja di sebuah syarikat pemasaran berbilang tingkat itu, selepas syarikat pelaburan yang mereka sertai itu rugi, dia kemudiannya memulangkan semula wang pelaburan kepada rakan baiknya yang dikenali hampir lima tahun itu.

“Atas rasa bertanggungjawab, saya pulangkan semula kesemua wang dia. Malah saya bayar sehingga RM296,000 akan tetapi, dia meminta saya bayarkan lagi sebanyak RM500,000, sebagai pampasan, untuk menyelesaikan masalah ini.

“Dia kata RM296,000 itu hanyalah nilai keuntungan. Saya katakan kepada dia syarikat tersebut sudah rugi, tidak ada untung,” katanya dalam satu sidang media di Tambun, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas dia mendapati jumlah yang dibayarkan itu melebihi daripada jumlah yang sepatutnya, Hwa Lin kemudian menghentikan pembayaran tersebut pada Mei lalu.

Ujarnya tindakan itu mengundang gangguan daripada panggilan yang tidak dikenali, selain rumahnya kerap didatangi kumpulan samseng yang pada kali terakhir pada 2 Ogos baru-baru ini.

“Saya jelaskan kepada dia yang kesemua duit pelaburan miliknya, saya sudah pulangkan. Jika dia merasakan saya tipu, saya sudah pun bayar lebih daripada jumlah yang sepatutnya.

“Jika saya yang bersalah, boleh ambil tindakan undang-undang ke atas saya. Lantiklah peguam tetapi janganlah bawa samseng,” katanya.

Ujarnya lagi isteri serta empat orang anaknya termasuk seorang anak kelainan upaya (OKU) juga berasa terancam apabila kali pertama dua orang samseng masuk ke rumahnya dan merosakkan beberapa perabot miliknya pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Salah Guna Kuasa, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Tony Tan Chee Chong yang juga hadir dalam sidang media sama berkata, tindakan mengugut dengan menggunakan samseng bukanlah suatu tindakan yang wajar.

“Malaysia masih ada undang-undang. Saya harap rakannya itu boleh menghentikan perkara ini kerana dia sudah pun mendapat wang pelaburan miliknya itu semula,” katanya.

Ekoran itu, ujar Tony sebanyak dua laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tambun yang masing-masingnya pada tarikh 9 Mei 2019 dan 31 Mei 2019

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");