Berita Hari Ini
Like

Geran Usahawan Hanya Untuk Yang Benar-benar Layak – Mohd Redzuan

August 25, 2019
227 Views
0 Comments
2 minutes read
Geran Usahawan Hanya Untuk Yang Benar-benar Layak – Mohd Redzuan

ALOR SETAR – Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan masih meneruskan pemberian geran kepada usahawan Bumiputera, namun bantuan itu hanya akan diberikan kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata fungsi utama kementerian bukan untuk memberi geran sahaja, malah lebih kepada membantu serta membuka peluang kepada usahawan untuk me­ning­katkan pendapatan.

“Fungsi utama kementerian juga adalah untuk melatih masyarakat yang ingin menjadi usahawan, kalau usahawan itu betul-betul berminat dan ada hala tuju, kita akan bantu dengan memberi geran untuk mengembangkan perusahaan mereka.

“Oleh itu, saya harap rakyat dapat mengubah pemikiran dan tidak lagi mengharapkan bantuan percuma semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kompleks Pekan Rabu di sini, lapor Bernama, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang menyarankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar menutup Kementerian Pembangunan Usahawan susulan keputusannya untuk tidak lagi memberi geran percuma kepada usahawan bumiputera.

Hamidah dilaporkan berkata tiada gunanya lagi kementerian berkenaan diwujudkan jika tidak dapat membantu golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata kerajaan akan membantu dengan memberikan geran yang melibatkan kaji selidik yang mempunyai peluang untuk dikomersialkan bagi membantu mempercepatkan permulaan perniagaan usahawan.

“Kalau usahawan itu boleh bagi komitmen kepada kerajaan dan diri sendiri, kita akan bantu bagi geran tetapi duit percuma memang tiada. Kalau tengok rekod ada usahawan yang dapat duit tetapi 50 peratus guna untuk perniagaan, 50 peratus lagi buat benda lain.

“Jadi, itu sudah salah guna duit geran, sebab itu kerajaan mahu kurangkan. Kalau kerajaan sebelum ini, usahawan kenal orang sana, sini mereka ada peluang cerah mahu dapat duit percuma tetapi kerajaan dan kementerian sekarang lebih fokus,” katanya.

Jumaat lalu, Mohd Redzuan dilaporkan berkata, Putrajaya tidak lagi memberi geran percuma kerana tidak mahu usahawan terlalu bergantung kepada bantuan itu.

Komen & Pendapat

Comments are closed.