Perak Hari Ini

Harap Shahrel Fikri Dapat Berjumpa Dengan Saya – Presiden PAFA

IPOH: Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap agar pemain skuad The Bos Gaurus, Shahrel Fikri Md Fauzi dapat berjumpa beliau sekiranya mempunyai sebarang masalah, seperti yang didakwa.

Ujar Ahmad Faizal, beliau juga menganggap penyerang skuad kebangsaan sebagai anak angkatnya sendiri.

“Setakat ini beliau tidak ada menyatakan apa-apa. Dia ini saya anggap sebagai anak angkat. Dalam ramai-ramai pemain yang ada, Shahrel Fikri ini saya sudah anggap sebagai anak sendiri.

“Tentunya jika ada masalah, saya harap beliau dapat berjumpa dengan saya, bukan sebagai Presiden PAFA, tetapi sebagai seorang ayah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dilaporkan semalam tindakan Shahrel Fikri yang dikatakan telah memadam semua gambar ketika menyarung jersi pasukan The Bos Gaurus di laman Instagram peribadinya meninggalkan tanda tanya kepada peminat bola sepak tanah air.

Ia dikatakan memberi gambaran seolah-olah beliau telah ‘tawar hati’ dengan pasukan bola sepak Perak apabila beliau hanya meninggalkan gambar-gambarnya ketika menyarung jersi Harimau Malaya, PKNP FC dan Nakhon Ratchasima.

Ahmad Faizal ketika ditanya pemberita tentang perkara berkenaan berkata, beliau berkata tidak mengetahui lanjut tentang tindakan Shahrel Fikri itu.

Pada masa sama, beliau berkata keputusan sama ada kontrak Shahrel Fikri akan diteruskan pada musim hadapan atau tidak, ia akan diputuskan secara bersama yang melibatkan pengurus pasukan dan Exco PAFA.

“Shahrel Fikri antara pemain yang saya kagum. Jika saya pengurus pasukan, saya akan pastikan beliau akan terus bermain dan kontrak disambung.

“Namun, sebagai Presiden PAFA, saya sentiasa menghormati keputusan-keputusan oleh Exco PAFA dan pengurus pasukan.

“Untuk menguruskan pasukan ini, kita tidak boleh terlalu banyak kepala. Jika sudah ada buat keputusan kepada seseorang, kita kena menghormati keputusan yang dibuat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");