Panasnya Hari Ini

Henti Beku Akaun, Esok Umno Tolong Utusan, Kata Najib

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak memberi jaminan sekiranya Pakatan Harapan (PH) menghentikan arahan membeku akaun Umno dan mengembalikan dananya yang disita secara haram, esok parti itu akan menolong Utusan Melayu Berhad.

Memetik laporan FMT, beliau bagaimanapun mendakwa kerajaan PH tidak akan bertindak adil dan mengambil peduli mengenai masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat akhbar itu.

“Utusan nak jual aset untuk menyelesaikan masalah aliran tunai, kerajaan PH pun lambat untuk meluluskan.

“Jangan harap kerajaan PH akan membantu akhbar paling lama di Malaysia ini,” katanya di laman Facebooknya.

Terdahulu pada Isnin, hampir 100 pekerja Utusan Melayu Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama 3 bulan.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Taufik Razak berkata, dalam mesyuarat dengan pihak pengurusan Utusan di Kementerian Sumber Manusia hari ini, pengerusi eksekutifnya, Abd Aziz Sheikh Fadzir memaklumkan syarikat itu mungkin ditutup dalam masa beberapa minggu.

Sebelum ini, 769 pekerja Utusan dilaporkan hidup dalam kesukaran sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada ah long dan menggadaikan harta.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau sedih dan marah apabila membaca berita bahawa Utusan mungkin menghentikan operasi pada Rabu ini sedangkan gaji pekerja telah tertunggak berbulan-bulan.

Katanya, Utusan sebagai akhbar paling lama dalam Malaysia sejak 1939 bukan sekadar sebuah syarikat media tetapi merupakan simbol dan khazanah orang Melayu dan berkait rapat dengan sejarah Malaysia.

“Awal bulan Februari tahun ini, Umno menjual kepentingan saham kita dalam Utusan. Ini pun selepas akaun Umno dibeku oleh kerajaan PH yang zalim.

“Dengan itu, kuasa kawalan dan pengurusan Utusan tidak lagi dalam tangan Umno,” katanya

Najib berkata, Utusan tetap dekat dengan hatinya.

Katanya, kalau Utusan dalam bahaya, sudah tentu Umno ingin tolong, tetapi akaun bank Umno telah dibeku sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU14) oleh kerajaan PH.

“Dana PRU14 Umno yang berjumlah RM116 juta itu juga telah disita dan dibekukan oleh kerajaan PH.

“Selepas setahun menyiasat, kerajaan tidak dapat membuktikan bahawa dana dalam akaun Umno dan dana PRU14 Umno adalah dari hasil daripada (perbuatan) jenayah,” katanya.

Najib berkata, mengikut undang-undang, kerajaan PH patut menghentikan arahan pembekuan akaun Umno dan memulangkan balik dana tersebut jika dakwaan jenayah tidak dibuat dalam tempoh setahun.

Katanya, kerajaan PH tahu dan sedar bahawa dana ini adalah dana sahih dan patut dipulangkan.

“Namun, kerana penindasan politik mereka telah mengeluarkan saman sivil untuk terus membeku dana tersebut untuk menyusahkan Umno dan saya. Utusan turut menjadi mangsa,” katanya.

Najib juga mengajak semua rakyat tampil ke depan untuk menolong Utusan.

Katanya, perniagaan yang ada bajet pengiklanan boleh mempertimbangkan untuk membeli ruang iklan di Utusan atau Kosmo.

“Belilah senaskah Utusan atau Kosmo setiap hari.

“Layarlah dan kongsikan artikel dari laman web Utusan,” katanya.

Bernama melaporkan sehingga 30 Jun, kerugian terkumpul Utusan adalah sebanyak RM261.61 juta.

Dalam pemfailan di Bursa Malaysia, ia berkata, berdasarkan pencapaian semasa segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanannya, lembaga pengarah Utusan tidak pasti bahawa syarikat itu akan kekal beroperasi pada penghujung tahun kewangan 2019.

Laporan itu juga menyebut, Utusan berkata, ia sedar bahawa Bursa Malaysia Securities Bhd berhak unti menggantung jual beli sekuritinya yang tersenarai pada hari ke-6 selepas tarikh pemakluman penggantungan.

Pada penutup Isnin, saham Utusan naik satu sen kepada 11 sen dengan 11,000 saham bertukar tangan.

Pada masa kemuncaknya pada 1990-an, jualan akbar tersebut mencecah 350,000 nasjah sehari dan merupakan akhbar paling laris di Malaysia.

Ia bagaimanapun jatuh pada 2004, merosot kepada 240,000 naskah dan seterusnya turun ke 144,438 naskah pada pertengahan 2016.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");