Berita Hari Ini

Hormati Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang Simbol Patriotik

KUANTAN: Semangat patrotisme atau cintakan negara bukan hanya sekadar menghafal lagu Negaraku atau mengibarkan bendera Jalur Gemilang, sebaliknya perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata hanya rakyat yang menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang memiliki semangat patriotisme tulen.

“Inilah silapnya dengan konsep kita menunjukkan rasa sayang pada negara. Tiada maknanya jika Jalur Gemilang dikibarkan atau berkumpul meraikan Hari Kemerdekaan, tetapi akhirnya kita tidak mempunyai rasa hormat pada Perlembagaan (Persekutuan) dan kedaulatan undang-undang negara ini.

“Justeru, seseorag itu belum boleh dikira sebagai memiliki semangat patriotisme hanya dengan menghafal lagu ‘Negaraku’ atau mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata,” katanya ketika menyertai Siri Bicara Cendekiawan Mulia di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dr Ir Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Musa berkata, sikap sayangkan negara juga boleh dibuktikan apabila rakyat berani menegur kesilapan pemimpin sebagai tanda sayang kepada negara ini.

“Sepatutnya, setiap rakyat mempunyai kefahaman terhadap sistem pentadbiran negara, memiliki rasa bangga menjadi rakyat Malaysia, menumpukan sepenuh rasa sayang dan setia kepada negara.

“Kita juga perlu ingat sejarah dalam pembinaan negara ini dan pemimpin yang baik pula tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat keputusan yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama,” katanya.

Bertajuk ‘Malaysia Baharu: Patriotisme Tulen atau Retorik Politik?’, siri bicara itu yang dikendalikan Dr Munira Abdul Razak dari Pusat Sains Kemanusiaan UMP sebagai moderator turut menampilkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Sementara itu, Mohamed Azam menegaskan semua pihak perlu menghormati prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan mencetuskan suasana tidak tenteram, terutama membabitkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Saya tidak faham mengapa semuanya tidak boleh sekarang sedangkan dulunya penggunaan tulisan jawi itu sendiri menjadi dokumen asas kepada kemerdekaan negara.

“Ini masalahnya bila ada pihak menggunakan pelbagai isu semata-mata mahu mendapatkan sokongan. Sebenarnya, perkembangan sebegini sangat tidak bagus, terutama ketika kita sedang menuju kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62,” katanya.

Malah, beliau turut mengingatkan generasi muda supaya mendapatkan fakta sebenar mengenai sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara ini bagi mengelak mereka memperoleh maklumat tidak tepat dan mengelirukan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");