Perak Hari Ini

Isu Isytihar Harta, Adun Perlu Akur Keputusan Dewan

IPOH- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa dalam membuat keputusan berhubung isu pengisytiharan harta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata para Adun perlu akur dengan terhadap keputusan yang telah dibuat kerana mereka terlibat dalam membuat keputusan.

“Bagi saya isu tersebut perlu diselesaikan sesama mereka dan apa yang penting satu salinan perlu diberikan kepada SPRM tetapi keputusan awal lulusan dibuat adalah Adun perlu menghantar akuan berkanun tersebut sebanyak dua salinan kepada Speaker DUN dan beliau akan menghantar kepada pihak SPRM.

“Hal ini juga bukanlah perkara yang ditentukan oleh pihak SPRM tetapi dari kerajaan persekutuan dan negeri itu sendiri kerana pihak SPRM hanya menyediakan platform khusus untuk mengisytiharkan harta yang orang ramai boleh lihat,” katanya dalam satu sidang media sempena Bengkel Reformasi Dewan Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Tambah beliau, sebagai penguatkuasa, pihaknya menyambut baik usaha oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan perkara tersebut bagi menunjukkan ketulusan dalam kredibiliti kita dalam menjalankan tugas.

“Bagi kerajaan negeri lain, prinsip yang sama juga mereka perlu lakukan kerana buat masa ini, kami tidak mempunyai undang-undang tertentu mengenai perisytiharan tersebut kerana perkara ini melalui parlimen dan tidak boleh terus ke SPRM.

“Jika negeri lain ingin membawa usul yang sama, mereka perlu membawa usul ini ke peringkat negeri kerana jika kita ingin melihat negara kita dapat menjayakan aspirasi Malaysia bersih, sepatutnya semua negeri menyambut perlaksanaan yang dibuat diperingkat kerajaan persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Speaker DUN, Ngeh Koo Ham, Adun tidak perlu hantar borang tersebut kepada SPRM jika tiada keputusan kerana keperluan adalah menghantar kepada Speaker terlebih dahulu dan jika mereka melanggar undang-undang, akan ada akibatnya.

Namun begitu katanya, Adun juga bebas untuk isytiharkan kepada orang awam kesemua liabiliti dan tanggungan selepas pengisytiharan harta dibuat sama ada ingin membuat sidang media mengenai hutang mereka iaitu untuk menunjukkan gambaran jelas mengenai kewangan mereka.

Dalam perkembangan yang sama, kata Ngeh, Bengkel Reformasi Dewan Negeri Perak diadakan supaya para Adun, pegawai dan pembantu mereka dilatih dan dilengkapkan supaya mereka dapat menjalankan tugasan secara lebih berkesan.

“Antara sesi yang diadakan adalah untuk membantu mereka cara bertanya soalan dengan lebih efektif, cara penyelidikan, cara pengurusan kewangan dan pengisytiharan harta sekaligus memastikan cara pentadbiran dilaksanakan dengan baik bertepatan dengan amalan-amalan terbaik.

“Bagi saya antara komponan terpenting dalam bengkel ini adalah untuk menyampaikan mesej supaya para Adun sama sekali tidak terlibat di dalam rasuah dan dapat meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");