Perak Hari Ini

Isu Jalur Gemilang Dipasang Terbalik: Abdul Aziz Akui Terima Kecaman

IPOH: Exco Kerajaan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari mengakui menerima kecaman dalam media sosial sejak semalam ekoran laporan media yang memetik kenyataan beliau berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Katanya kenyataan beliau yang diambil secara ‘cut-and-paste’ dan di luar daripada konteksnya itu telah mengundang kecaman ke atas dirinya.

Walau bagaimanapun Naib Pengerusi DAP negeri itu berkata bahawa beliau tidak menyalahkan pihak media dalam membuat laporan terhadap kenyataannya itu.

“Saya tak kata yang saya suruh pasang bendera terbalik. Tetapi, saya tidak menyalahkan wartawan. Saya akur dengan media yang mempunyai cara tersendiri dalam menjual akhbar mereka.

“Namun, sikap dan kecaman yang saya terima daripada golongan ekstremis kanan yang menggunakan isu ini untuk menghentam saya, dan DAP.

“Ini tidak masuk akal kerana semua benda, DAP yang menjadi isu, padahal isu itu tidak dilihat secara rasional,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Ekoran perkara tersebut, Abdul Aziz yang juga bekas pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mencadangkan agar kerajaan dapat membawa satu rang undang-undang ke parlimen yang secara khusus dapat mengurus hal-hal berkaitan bendera Jalur Gemilang serta bendera-bendera negeri yang lain.

“Ada yang memberi respons kepada saya bahawa sudah ada beberapa peruntukan undang-undang terhadap perkara ini namun saya fikirkan undang-undang tersebut tidak jelas dan bercerai-berai.

“Mengapa tidak, dengan berlakunya insiden ini, kita adakan satu akta khas di Parlimen yang dapat mengurus soal bendera ini dari segi warna, cara pemasangan dan sebagainya,” katanya.

Dalam kenyataan media yang diedarkan kepada pemberita di sini hari ini, Abdul Aziz berkata perkara sama juga perlu dibuat kepada semua bendera negeri selain peruntukan undang-undang tersebut juga perlu menyenaraikan tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang itu.

Jelas beliau disebabkan ia melibatkan bendera negeri maka perkara itu juga harus dibawa kepada perhatian Majlis Raja-raja kerana ia melibatkan kepentingan negeri.

“Saya melihat undang-undang ini penting supaya ia dapat menjelaskan keadaan sebenar dan dapat menyelesaikan kekeliruan serta dapat menyelamatkan masa dan sumber pihak polis daripada diganggu oleh laporan yang bukan-bukan ini,” katanya.

Semalam media melaporkan yang Abdul Aziz menyebut bahawa tidak ada peruntukan undang-undang khusus yang boleh diambil sekiranya terdapat kesalahan mana-mana pihak dalam memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Beliau juga menyebut bahawa isu sedemikian juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan cubaan merendahkan martabat Yang di-Pertuan Agong.

Kelmarin, sebanyak 20 organisasi bukan kerajaan (NGO) di Perak tampil membuat laporan polis bagi mendesak tindakan pihak berkuasa ke atas premis atau pihak yang dengan sengaja memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik, seperti yang tular di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");