Perak Hari Ini

“Itu Yang Buat Saya Berasa Beruntung Ada Dalam Penjara…”

TAPAH: Berada di balik tirai besi selama enam tahun bukan sesuatu yang mudah tatkala perasaan rindu untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga sentiasa berada dalam jiwanya.

Anuar, 31 penghuni Penjara Tapah merupakan antara empat banduan berusia antara 31 dan 60 tahun yang akan dibebaskan bersyarat selama seminggu menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Dia yang menjalani hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan samun berkata berasa tidak sabar untuk menggunakan tempoh pembebasannya itu dengan sebaik mungkin bersama adik-beradiknya.

“Selama enam tahun saya berpisah dengan mereka. Peluang yang diberikan ini akan saya gunakan sepenuhnya. Saya pun akan dibebaskan tidak lama lagi, jadi saya hendak membuat persiapan untuk melihat penerimaan keluarga,” katanya.

Selain itu, anak ke-10 daripada 11 orang adik beradik itu menyifatkan sebagai insan yang beruntung apabila berada di dalam penjara.

Katanya di situ dia bukan sahaja dapat mempelajari ilmu kemahiran menjahit malah dia juga berasa gembira apabila dapat mempelajari ilmu agama.

“Saya akui dahulu saya tidak pandai mengaji. Apabila saya duduk di bahagian pemulihan, halaqah dan sebagainya, Alhamdulillah saya boleh mengaji dan belajar untuk solat.

“Itulah yang membuatkan saya berasa beruntung berada di dalam penjara ini kerana jika saya di luar, mungkin akan terus bergelumang dengan masalah dan saya tidak dapat ini semua,” katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Tapah, di sini, pada Khamis.

Kakaknya, Yong, 48, yang hadir bersama-sama ahli keluarganya yang lain mengakui tidak dapat menggambarkan perasaan gembiranya tatkala berpeluang menyambut Hari Raya Aidiladha dengan kehadiran Anuar.

“Kami memang akan membantu dia supaya dia tidak ulangi kesilapan lama. Kami akan beri semangat kepadanya. Keluarga takkan buang dia kerana walau macam mana pun, dia tetap adik beradik kami.

“Saya lihat dia banyak berubah ke arah kebaikan. Kami sentiasa melawat dia di sini pada setiap bulan untuk beri semangat kepada dia. Itu salah satu amanah oleh arwah mak dan ayah saya sebagai anak sulung untuk menjaga adik-adik saya,” katanya.

Sementara itu, perasaan gembira yang sama turut dirasai Tok, 32 yang sudah merancang untuk bekerja bersama abang iparnya apabila tempoh hukumannya tamat satu hari nanti.

Dia yang juga menjalani hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan samun itu berkata telah mempelajari bidang kemahiran kimpalan selama berada di Penjara Tapah.

“Selepas ini saya mungkin merancang untuk berkahwin. Keluarga pun ada katakan perkara yang sama,” ujarnya.

Pengarah Penjara Tapah, Kamarudzaman Mamat ketika ditemui pemberita berkata inisiatif PBSL yang merupakan pertama kali diadakan di penjara berkenaan adalah sebagai platform awal supaya masyarakat dapat menerima bekas banduan untuk bersama dalam aktiviti rutin seharian apabila dibebaskan nanti.

Katanya, pelaksanaan program itu adalah tertakluk dalam Seksyen 43 Pelepasan Banduan Secara Berlesen Akta Penjara Malaysia.

“Antara syarat utama untuk mengikuti PBSL adalah menerusi persetujuan pihak keluarga, tahap kepulihan banduan, kemajuan banduan dalam Program Pembangunan Insan dan disiplin banduan,” katanya.

Walau bagaimanapun jelasnya banduan hukuman mati, banduan sepanjang hayat, banduan warga asing dan banduan yang tidak melepasi kriteria yang ditetapkan tidak akan dapat mengikuti program berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");