Berita Hari Ini

Jambatan Angkat Dibuka Untuk Laluan Kapal Sebulan Lagi

KUALA TERENGGANU: Bahagian tengah jambatan angkat atau ‘drawbridge’ dijangka mula dibuka bagi laluan kapal dalam tempoh sebulan lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd Khalizan Mahmud, pihak yang mengurus pentadbiran dan penyelenggaraan jambatan tersebut berkata, waktu yang sesuai untuk bahagian tengah jambatan tersebut dibuka sedang dibincangkan bersama Jabatan Laut Malaysia.

“Kita akan bagi jadual setiap bulan kepada orang ramai bila jambatan ini akan dibuka supaya mereka boleh melihat sendiri bagaimana kita buka jambatan untuk laluan kapal.

“Kita telah buka jambatan ini banyak kali untuk diuji, petang semalam pun kita buka. Dan kita dapati tidak ada masalah setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas jambatan angkat dibuka secara rasmi kepada semua kenderaan bermula 6 pagi tadi.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu yang menggunakan sistem teknologi hidraulik bascule termaju menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selain tiga jambatan lagi iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati lapor Bernama.

Katanya orang ramai juga dibenarkan untuk berjoging di atas jambatan tersebut termasuk pada waktu malam namun mereka hanya boleh menggunakan laluan pejalan kaki bagi tujuan keselamatan.

Dalam pada itu, Khalizan berkata pihaknya sedang melihat kesesuaian sama ada untuk menyediakan laluan basikal di atas jambatan tersebut.

“Kita akan lihat kesesuaiannya sebab jambatan ini tidak boleh dilebarkan lagi. Ia dah dibina sedia sebegitu jadi kalau hendak buat laluan basikal bermakna laluan kereta akan menjadi lebih sempit. Tetapi sekarang ini kalau mereka yang berbasikal hendak lalu tidak ada masalah, kita benarkan,” katanya.

Sementara itu ruang galeri, restoran dan ‘sky bridge’ yang terletak di bahagian paling atas jambatan tersebut dijangka dibuka kepada orang ramai dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Katanya ruang galeri tersebut akan mempunyai tema tertentu yang akan ditukar setiap satu atau dua bulan bagi menarik kehadiran pengunjung.

Ketika ditanya mengenai bayaran masuk ke ‘sky bridge’, Khalizan berkata harga yang minimum berbanding ‘sky bridge’ lain yang terdapat di Malaysia akan dikenakan, bagi menampung kos operasi jambatan angkat.

“Tetapi dalam masa enam bulan selepas dibuka nanti, orang ramai boleh menikmati pemandangan dari ‘sky bridge’ dengan harga diskaun yang banyak,” katanya.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat.

Jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun lepas untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan daripada sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Sementara itu, pembukaan semula jambatan angkat hari ini bukan sahaja menarik perhatian orang ramai malah 10 pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) yang mengambil kesempatan untuk menjalankan latihan harian mereka di atas jambatan.

Pembantu Jurulatih TSG Mohd Saiful Anuar Aziz berkata anak-anak buahnya berasa teruja ketika melalui jambatan tersebut kerana dapat menikmati pemandangan yang indah sambil menjalani latihan.

“Budak-budak (anak buah) beritahu mereka selalu berlatih di luar negara tetapi tidak begitu mengujakan seperti di jambatan angkat ini. Mereka menyifatkan jambatan tersebut yang terbaik kerana pemandangan yang cantik terutama di sekitar Pantai Miami di Seberang Takir yang terletak berdekatan dengan jambatan tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");