Berita Hari Ini

Jangan Bertindak Ikut Emosi, Buruk Padahnya – Huzir

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat tidak mengambil tindakan sendiri termasuk mencederakan serta merosakkan kenderaan pihak lain apabila timbul rasa tidak puas hati ketika berada di jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kebiasaannya tindakan seperti ini akan diambil jika berlakunya pertengkaran sehingga mengundang insiden buli di jalan raya yang berakhir dengan pergelutan.

Beliau berkata, setiap kes buli jalan raya bermula dengan kesalahan trafik, namun akibat tidak berpuas hati dan mengambil tindakan sendiri maka kesalahan jalan raya bertukar kepada kes jenayah.

“Kalau kita lihat pada setiap kes, ini adalah akibat pengguna jalan raya yang gagal mengawal perasaan marah dan tidak berpuas hati dengan cara pemanduan individu lain yang berkemungkinan melakukan kesalahan jalan raya.

“Akibat ego dan ingin menunjukkan ‘dialah yang kuat’ di jalan raya, maka muncullah tindakan memberhentikan kereta pihak yang membuatkan dia marah, keluarkan pengunci stering, bawa kayu besbol, tunjuk isyarat lucah sehingga bertukar kepada kejadian buli dan samseng jalan raya,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata apabila pihak yang menjadi mangsa cuba menunjukkan rasa ego dan tidak mahu beralah, maka akan berlakulah pergelutan dan akhirnya kepada kejadian mencederakan sehingga boleh bertukar kepada kematian.

“Itu yang saya tegaskan untuk tidak mengambil tindakan sendiri atau semberono di jalan raya, kerana masing-masing bakal berhadapan tindakan mengikut undang-undang sekiranya cuba bertindak samseng.

“Paling penting apabila mana-mana pengguna jalan raya berhadapan dengan situasi seperti diugut, dipukul atau kenderaan dirosakkan segeralah membuat laporan polis dan tindakan segera juga akan diambil, itu jaminan saya,” katanya.

Huzir berkata, polis khususnya JSJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang cuba berlagak samseng dan mencederakan orang lain serta merosakkan kenderaan.

“Catatkan nombor pendaftaran, lokasi kejadian dan wajah orang itu dan lapor segera kepada polis, kami akan tangkap dan bawa dia ke muka pengadilan, pandai buat pandailah dia (suspek) tanggung,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari semalam, seorang lelaki berusia 29 tahun maut akibat perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Kajang.

Pada mulanya mangsa dan suspek sudah ditenteramkan oleh orang ramai sebelum kedua-dua mereka masuk ke kereta masing-masing.

Bagaimanapun mangsa yang masih tidak berpuas hati mengeluarkan kayu besbol dan memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek yang berada dalam kereta ketika itu terus memandu dalam keadaan tergesa-gesa hingga terlanggar mangsa sebelum mangsa tersepit antara kereta dan penghadang jalan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");