Perak Hari Ini

Jangan Pandang Ringan Kerjasama UMNO-PAS – Asmuni

IPOH: Walaupun ada beberapa perkara yang belum dimuktamadkan menerusi piagam antara UMNO dan PAS namun kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak harus dipandang ringan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Asmuni Awi berkata perkara tersebut harus dilihat sebagai satu cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya pada Pilihanraya Umum (PRU) yang akan datang.

“Ia seperti berlaku semasa PRU yang lalu apabila kesemua parti pembangkang bersatu bertanding dengan menggunakan satu logo dan berhadapan dengan UMNO.

“Ia memberikan kekuatan baharu kepada pembangkang yang mana menyaksikan UMNO tumbang. Prinsip yang sama diaplikasikan pada PRU yang akan datang ini.

“Kita tidak boleh memandang ia ringan. Kita harus memberikan perhatian terhadap perkara itu dan bersedia daripada sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari Agung Amanah Nasional berkata perkara tersebut disuarakan berdasarkan kepada beberapa dapatan kajian berhubung sokongan rakyat masa kini kepada PH.

Ujarnya kesemua ahli parti harus memberi fokus kepada perkara itu walaupun ia hanya sebuah dapatan kajian.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pada Perasmian Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak Kali Ke-3 di Hotel Tower Regency, dekat sini, hari ini.

Ketika berucap pada majlis, Asmuni berkata rakyat telah menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU yang lalu adalah kerana meletakkan harapan yang tinggi kepada PH.

Katanya sekiranya kesemua ahli parti komponen PH tidak menjalankan amanah yang diberikan dengan baik, tidak mustahil rakyat akan ‘mencabut’ kekuasaan pemerintahan daripada PH sebagaimana yang berlaku kepada UMNO.

Dalam perkembangan sama Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim ditemui berkata sistem pemilihan Pemuda Amanah tidak menggunakan sistem ‘cai’ sebaliknya ia adalah sistem pasukan.

Jelasnya sistem ‘cai’ seperti yang diamalkan semasa dalam pemilihan PAS dahulu bersifat sembunyi dan memaksa ahli untuk membuat pemilihan kerana ia dikeluarkan sehari atau dua hari sebelum proses pemilihan berlangsung.

Sebaliknya sistem pasukan yang diketengahkan oleh Pemuda Amanah lebih bersifat demokratik yang mana ia telah diumumkan tiga bulan sebelum tiba hari pemilihan.

“Tidak ada istilah cai. Cai ini menyebabkan ahli terpaksa untuk memilih calon tertentu. Sebaliknya, kami mengangkat semangat demokrasi dalam Pemuda Amanah.

“Kita perkenalkan calon-calon di peringkat awal supaya ada pilihan kepada semua perwakilan untuk membuat keputusan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");