Perak Hari Ini

Jangan Serahkan Masa Depan Negara Kepada Kumpulan Yang Membawa Fahaman Ekstremis Kaum Dan Agama- Sultan Perak

IPOH- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya masa hadapan rakyat dan negara, tidak seharusnya diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman ekstremis kaum dan ekstremis agama.

Titah baginda, setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, suara perpaduan yang menyatukan warga, dan suara kesederhanaan yang merangkum warga, jangan sama sekali dibenarkan untuk dirampas (hijack) oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek.

“Perkara yang paling penting adalah mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan, menidakkan hak sesuatu kaum atau melanggar perkara-perkara asas yang telah dipersetujui semasa penggubalan Perlembagaan Merdeka.

“Tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara merdeka ini, adalah tanggungjawab setiap warga, demi menjamin negara ini kekal aman, rukun, makmur dan sejahtera,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Umar (PUO), di sini, hari ini.

Konvokensyen ke-48 ini menganugerahkan Ijazah, Diploma dan Sijil Kepada 2,270 orang graduan.

Titah baginda, kejayaan memupuk perpaduan agar warga yang berbilang itu dapat hidup secara rukun iaitu secara harmoni, saling menghormati, saling memahami dan saling bekerjasama, merupakan kunci kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi di bumi ini.

“Anak muda hendaklah memahami dan menghayati pentingnya faktor perpaduan, pentingnya setiap kaum menghargai dan menghormati kehadiran masing-masing,” titah baginda.

Hadir sama mengiringi semasa istiadat, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,Dr Mohammad Naim Yaakub, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi mewakili Menteri Besar Perak dan Pengarah PUO, Dr Zairon Mustapha.

Baginda turut menzahirkan ucap tahniah kepada para graduan yang telah mencipta satu lagi kejayaan melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan.

“Tampilkan diri dengan sifat orang berilmu, bertindak secara waras berlandaskan fakta berteraskan kebenaran serta hargai jasa guru, hargai jasa ibu bapa dan ahli keluarga yang berada di belakang kejayaan anda,” titah baginda lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");