Perak Hari Ini

JKKP Perak Sita 2 Tapak, Keluar 174 Notis Larangan

IPOH- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah mengeluarkan sebanyak 174 notis larangan dimana sebanyak dua tapak pembinaan telah disita secara keseluruhan.

Pengarahnya, Ir. Zamzurin Maarof berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan keatas 27 tapak pembinaan sepanjang ‘Operasi Cegah Kemalangan’ yang bermula pada 15 Julai sehingga hari ini dengan berfokuskan untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap aktiviti kerja-kerja perancah, berkerja di tempat tinggi, pemantauan terhadap notis larangan dan kebersihan serta kekemasan di tapak.

“Sepanjang operasi dijalankan, JKKP telah telah mengeluarkan sebanyak 174 notis larangan dari pelbagai kesalahan yang melibatkan dua tapak pembinaan yang disita secara keseluruhan berserta penyitaan 177 kawasan loji kerja.

“Pihak kami juga masih dalam proses dan cadangan bagi menyediakan kertas siasatan terhadap tiga kes pendakwaan diikuti 151 kes kompaun terhadap majikan dan individu di tapak pembinaan.

“Lokasi yang disita sepenuhnya adalah tapak pembinaan yang terletak di Taiping dan Batu Gajah dengan kesalahan tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan tetapi pembatalan sita akan dikeluarkan jika pihak majikan atau kontraktor memberi taklimat dan mengemukakan cadangan penambahbaikan,” katanya ketika ditemui peberita semasa hari penutup Ops cegah kemalangan di tapak pembinaan di sini, hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 42 notis penambahbaikan juga telah dikeluarkan diikuti sebanyak 87 surat arahan bagi pelbagai kesalahan yang memerlukan penambahbaikan segera oleh pihak majikan atau kontraktor, namun begitu tindakan akan diambil terhadap majikan yang ingkar terhadap notis yang teah dikeluarkan.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tepian terbuka yang melibatkan kerja-kerja di tempat tinggi, lubang terbuka yang tidak ditutup, pendawaian elektrik, pemasangan perancah, pelantar kerja dan laluan ke tempat kerja yang tidak selamat.

“Bagi kesalahan yang dikenakan tindakan kompaun pula adalah kesalahan dari segi tepian serta lubang terbuka yang tidak ditutup, pendawaian elektrik yang tidak selamat, pemasangan perancah dan pelantar kerja yang tidak selamat serta gagal memakai pakaian perlindungan diri,” katanya.

Menurut Zamzurin, sehingga bulan Julai 2019 terdapat sebanyak empat kes kemalangan maut yang melibatkan sektor pembinaan daripada catatan 23 kes kemalanggan maut melibatkan pekerjaan.

“Sebanyak tujuh tindakan pendakwaan telah dikenakan berserta 131 kompaun dengan jumlah denda sebanyak RM118,000 dan jumlah kompaun RM216,000 bagi tempoh tersebut,” katanya.

Jelas beliau, tujuan operasi tersebut dijalankan adalah untuk menilai tahap pematuhan individu pembinaan terhadap perundangan yang tertakluk dalam akta yang ditetapkan.

Pihak JKKP juga akan mengambil tindakan kompaun dan mendakwa kontraktor atau individu yang gagal menjalankan tanggungjawab di bawah akta peruntukan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");