Membawang Hari Ini

Kabel Saya Bukan Bapa Tetapi Allah – Hawa Rizwana

“Mereka(warganet) tak tahu pun kesusahan kami, yang mereka tahu hanyalah mengkritik,” kata pelakon yang juga pembaca berita Buletin Utama TV3, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 24.

Hawa menzahirkan kekecewaan sebaik ditohmah warganet di Twitter semalam kononnya dia mendapat pekerjaan itu menggunakan ‘kabel’ iaitu bapanya, Profesor Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman memetik laporan HMetro.

Menurut Hawa, dia mengakui bapanya bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia dan kini pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, namun tidak pernah menggunakan bapanya.

“Saya tegaskan kabel saya bukan bapa tetapi Allah. Tuduhan dilemparkan warganet sangat melampau dan menyakitkan hati,” katanya.

Menurutnya, turut difitnah adalah rakan setugas, Zharif Zhafri yang juga anak kepada pengacara, Allahyarham Aziz Desa.

Hawa yang memiliki raut wajah persis Neelofa berkata, warganet tidak memahami kesusahan dirinya yang bertungkus lumus mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) di UiTM.

“Sewaktu menjalani latihan praktikal bersama Media Prima pada Mac 2017, resume saya dihantar oleh pensyarah bukan bapa. Tolong jangan kaitkan bapa dalam hal ini dan membuatkan kami bersedih,” katanya.

Katanya, bapanya sentiasa berpesan supaya berusaha sendiri sekiranya mahu mendapatkan pekerjaan.

“Bakat saya dikesan pihak pengurusan Media Prima selepas tamat praktikal Jun 2017. Mereka menawarkan kerja sebagai wartawan dan pembaca berita di TV9.

“Alhamdulillah, saya beralih sebagai pembaca berita Buletin Utama pada 1 Januari lalu dan ia disebabkan bakat bukannya kabel,” katanya.

Sebagai anak perempuan tunggal dalam keluarga, dia bersedih sekiranya orang ramai memfitnah bapanya.

“Kepada graduan di luar sana yang masih tiada pekerjaan, saya doakan semoga dimurahkan rezeki oleh Allah. Saya percaya Allah Maha Adil dan sentiasa membuka peluang buat semua hamba-Nya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");