Berita Hari Ini
Like

Kena Tangkap Selepas Bakar Permaidani Masjid

August 13, 2019
171 Views
0 Comments
2 minutes read
Kena Tangkap Selepas Bakar Permaidani Masjid

PENDANG: Perbuatan seorang lelaki membakar permaidani di dua masjid di daerah ini awal pagi semalam bukan sahaja kerja sia-sia tetapi membawa padah apabila ditahan polis, pada Isnin.

Suspek berusia 26 tahun ditahan polis di sekitar daerah ini pada jam 12 tengah hari bagi membantu siasatan berhubung kes yang berlaku di Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang, di sini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan, Arriz Sham Hamezah, berkata dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Imam Masjid Kampung Rambai, Ismail Yahaya, 33, membuat laporan polis selepas dimaklumkan jemaah masjid selepas melihat permaidani masjid terbakar.

“Pengadu kemudian menghubungi pihak bomba untuk membantu memadam kebakaran itu.

“Selepas api dipadamkan, pengadu kemudian datang ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Arriz Sham berkata, selain itu pihaknya turut menerima laporan dari jemaah Masjid Pendang yang memaklumkan ternampak permaidani di dalam masjid terbakar pada jam 5.15 pagi.

Katanya, hasil siasatan bagi kedua kes berkenaan mendapati, kebakaran di Masjid Pendang dipadamkan oleh pihak bomba terlebih dahulu, manakala kebakaran di Masjid Kampung Rambai dipadam kariah masjid berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan bakar pada permaidani di pintu hadapan Masjid Kampung Rambai dan kesan bakar di pintu tepi Masjid Pendang.

“Pemeriksaan juga mendapati ada kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di Masjid Pendang, namun tidak berfungsi manakala Masjid Kampung Rambai pula tidak mempunyai CCTV.

“Pihak forensik turut dimaklum untuk menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian,” katanya.

Arriz Sham berkata, berdasarkan maklumat terdapat seorang saksi ternampak kejadian di Masjid Pendang dan mendakwa dua lelaki menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan masjid berkenaan sebelum kejadian.

Katanya, berdasarkan maklumat dan siasatan, pihaknya dapat menjejak salah seorang suspek dan menahannya bagi membantu siasatan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.