Berita Hari Ini

Kerajaan Akan Ambil Kira Kebimbangan Rakyat Terhadap Kilang Lynas – Dr Mahathir

SEPANG- Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kerajaan akan mengambil kira kebimbangan rakyat terhadap kilang nadir bumi Lynas Malaysia di Gebeng, Kuantan walaupun penyiasat telah mengisytiharkan bahawa kilang itu tidak merbahaya.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada Khamis mengumumkan bahawa kerajaan melanjutkan lesen operasi bagi kilang pemprosesan nadir bumi yang dimiliki pelombong Australia, Lynas Corp, bagi tempoh enam bulan lagi.

“Sudah ada siasatan dan mereka telah menyatakan tidak ada bahaya. Tetapi, sudah tentunya rakyat masih merasakan kita perlu menyingkir (kilang) itu daripada pandangan mereka. Baiklah, kita akan lihat perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat AirAsia, RedQ, di sini, hari ini.

Apabila ditanya apakah yang akan berlaku kepada Lynas selepas tempoh enam bulan itu, Dr Mahathir berkata: “(Ia) bergantung kepada data yang kita ambil.”

Lesen operasi Lynas sebelum ini dilanjutkan bagi tiga tahun dari 2016 ke 2 Sept, 2019. Bagaimanapun, dengan pembaharuan lesennya, Lynas perlu mematuhi beberapa syarat yang dikenakan ke atas mereka.

Antara syarat yang ditetapkan adalah ia perlu memindahkan proses pemecahan dan pengurasannya ke negara lain dan membina tapak pelupusan kekal.

Lynas juga perlu menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan sisa radioaktif penulenan air sebagai condisoil (produk perapi tanah) bagi pertanian.

Ditanya mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil sekiranya syarat-syarat itu tidak dipenuhi (terutamanya, memindahkan proses pemecahan dan pengurasan ke luar negara) Dr Mahathir berkata: “Kita bagi mereka masa empat tahun. Kita tidak akan menghalau mereka.”

Perdana Menteri berkata walaupun permit dilanjutkan bagi enam bulan, kerajaan berharap Lynas boleh memenuhi syarat-syarat itu dengan segera.

Mengulas mengenai rancangan perhimpunan anti-Lynas di Kuantan Ahad ini, yang dirancang diakhiri dengan pembakaran manifesto Pakatan Harapan kerana membenarkan Lynas terus berada di negara ini, beliau berkata ia tidak akan menyelesaikan apa-apa.

“Mereka boleh membakar manifesto, tetapi mereka perlu berdepan perkara ini dengan cara yang sewajarnya. Tidak bolehlah pergi berarak dan membakar manifesto dan berharap semuanya akan diselesaikan.

“Saya amat yakin sekiranya anda membakar semua manifesto pun, ia tidak akan menyelesaikan apa-apa. Ia hanya akan membuatkan orang marah,” katanya.

Dr Mahathir juga mengakui semasa pakatan PH merangka manifesto itu, banyak perkara yang tidak diketahui mereka pada masa itu, dan sekarang dengan maklumat baharu yang diperoleh, mereka perlu menanganinya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");