Berita Hari Ini

Kerajaan Belum Putuskan Rayuan Kes Tahanan Keganasan

GOMBAK: Kerajaan sedia meneliti sebarang bentuk rayuan daripada individu yang ditahan di luar negara atas kesalahan keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata bagaimanapun ia tertakluk kepada perincian kes dan bentuk hukuman yang sedang dihadapi.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan memang menerima permohonan rayuan daripada individu sedang menjalani hukuman di luar negara, namun dalam menentukan tindakan seterusnya, aspek keselamatan antara yang diberi pertimbangan serius.

“Kita mesti meneliti perkara itu secara mendalam dari sudut keselamatan. Memang ada rayuan dibuat beberapa individu yang terbabit dan ditahan di sana (Syria) termasuk isteri, keluarga dan sebagainya.

“Tetapi, kerana mereka ini dijatuhkan hukuman di sana (luar negara), kita di sini kena meneliti sama ada kes terbabit di sana adalah kes agak serius yang mempunyai kesan sekiranya mereka dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri seminar Antarabangsa Mengenai Nilai Agama Dalam Pencegahan Ekstremisme di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di sini, hari ini.

Turut hadir, Rektor UIA, Profesor Emiratus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, setakat ini, kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai semua permohonan rayuan yang diterimanya.

“Tak ramai, hanya ada satu keluarga saja (merayu), dengan orang yang terbabit sekitar tiga, empat orang, termasuk anak mereka.

“Sebab hal ini berlaku di luar negara. Kalau di Syria, kita tidak ada hak untuk mereka maklumkan kepada kita, kecuali jika rakyat Malaysia yang ditahan di sana, mereka dijatuhkan hukuman sama ada ditahan (di penjara) dan sebagainya, minta kerjasama dan campur tangan kerajaan, kita akan lihat,” katanya.

Beliau berkata, sehingga Julai lalu, seramai 519 individu ditahan polis kerana terbabit dengan kegiatan keganasan, membabitkan rakyat tempatan dan warga asing.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan dalam proses penyediaan Pelan Tindakan Nasional (NAP) bagi aspek Mencegah dan Membalas Ekstremisme Keganasan (PCVE).

“Kami akan merujuk beberapa panduan ditetapkan badan antarabangsa supaya ada keseragaman terhadap NAP dan kami nak ambil pengalaman terhadap apa yang berlaku terlebih dahulu.

“Kerajaan sedang berbincang dan belum diputuskan (pelaksanaannya) kerana membabitkan pelbagai agensi, bukan KDN (Kementerian Dalam Negeri) saja,” katanya memaklumkan pihaknya juga tidak menetapkan tempoh masa bila ia akan dilaksanakan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");