Panasnya Hari Ini

Kerap Timbul Isu Peralihan Kuasa Hanya Timbulkan Ketidaktentuan

FUKUOKA – Isu peralihan kepimpinan yang terlalu kerap ditimbulkan dikhuatiri akan menimbulkan rasa ketidaktentuan dalam negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menegaskan beliau sudah berkali-kali menyatakan proses peralihan akan tetap berlaku.

“Jadi kalau kita terlangsung sangat cerita pasal pertukaran, ramai orang akan merasa ‘feelings of uncertainty’ (rasa ketidaktentuan). Kalau tukar, apa jadi” katanya pada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerjanya ke Fukuoka selama dua hari pada Khamis, lapor Bernama.

Terbaharu, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Dr Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan Pusat.

Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Dr Mahathir berkata ketika beliau berundur sebelum ini dengan harapan penggantinya akan meneruskan dasar-dasar yang memberi kejayaan kepada negara namun apa yang berlaku mereka telah menukar dasar-dasar berkenaan.

“Sekarang bila dengar nak tukar, dia pun khuatirlah. Takut nanti semua tukar dasar,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau tidak percaya penggantinya kelak akan menukar semua dasar.

“Mungkin ada sedikit sebanyak perubahan, pendekatan, tapi pada umumnya saya fikir tak ada cara lain untuk mentadbir Malaysia daripada cara yang telah kita amalkan sekian lama, yang telah memberikan kejayaan kepada kita,” katanya.

Ditanya sama ada Anwar ada menyatakan kemungkinan mengenai perubahan dasar dalam pertemuan-pertemuan sebelum ini, Dr Mahathir berkata Anwar menyatakan sokongan kepada beliau.

“”Saya tak pikir dia (Anwar) akan ubah (dasar). Tak patut ada sense of uncertainty,” katanya.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau salah faham istilah ‘cash is king’, Dr Mahathir sambil tergelak berkata “Fantastic la Najib ni, dia kata kononnya maknanya lain. Tapi dulu kenapa tak kata, kenapa dia tak buat.”

Najib dilaporkan berkata ‘Cash is king’ yang dimaksudkan bukan secara literal, tetapi rakyat itu ‘king’ (raja) dan sebab itu duit digunakan untuk bantu rakyat.

Dr Mahathir berkata jika rakyat itu ‘king’, Najib sepatutnya melayan rakyat dan bukannya dengan memberi duit.

“Tapi bila dia dah terjerat, tak boleh nak kata apa, dia kata bukan itu maknanya. Dia cakap lain. Dr Mahathir ini jahat, dia tukar makna,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");