Perak Hari Ini
Like

Kes Rogol Amah: DAP Perak Dakwa Individu Bawa Mangsa Buat Laporan Polis Terima RM100,000 Dan Ugutan Pistol

August 23, 2019
357 Views
0 Comments
2 minutes read
Kes Rogol Amah: DAP Perak Dakwa Individu Bawa Mangsa Buat Laporan Polis Terima RM100,000 Dan Ugutan Pistol

IPOH: DAP Perak membuat laporan polis selepas mendakwa menerima maklumat terkini berhubung kes rogol pembantu rumah warga Indonesia melibatkan Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong.

Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata beliau menerima maklumat bahawa individu yang membawa pembantu rumah berkenaan bagi membuat laporan polis pada Julai lalu telah menerima wang sebanyak RM100,000.

Malah menurutnya, individu tersebut turut diugut dengan senjata api berbentuk sepucuk pistol supaya tidak membongkar perkara yang sebenar.

“Semasa saya berada di sebuah hotel di Jalan Datoh Ipoh pada pukul 6 petang tadi, saya telah terima maklumat yang individu membawa pembantu rumah itu untuk membuat laporan polis telah menerima wang sebanyak RM100,000.

“Individu itu juga telah diugut dengan sepucuk pistol untuk tidak membongkar rahsia tersebut,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Terdahulu beliau tampil membuat laporan polis pada jam 10.15 malam tadi berhubung perkara berkenaan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Antara yang hadir ialah Ketua Cabang PKR Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming serta barisan ahli DAP negeri yang lain.

Sementara itu, Koo Ham yang juga Speaker Dun Perak berkata beliau percaya dengan adanya maklumat terbaharu tersebut, ia berkemungkinan terdapat muslihat di belakang dakwaan rogol yang melibatkan Paul Yong.

“Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut dakwaan yang dibuat oleh pembantu rumah berkenaan.

“Saya tidak mahu mendedahkan butiran lanjut mengenai saksi itu dan menyerahkan segala maklumat kepada polis untuk siasatan lanjut supaya kita tahu agenda tersembunyi di sebalik tuduhan itu,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.