Perak Hari Ini

Kes Rogol Babitkan EXCO Perak: Polis Terima Laporan Kimia, Perubatan

IPOH: Polis Perak mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang membabitkan seorang EXCO Kerajaan Perak telah siap.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata pihaknya juga telah menerima laporan daripada Jabatan Kimia Malaysia dan perubatan terhadap kes sama.

Katanya ia akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.

“Laporan kimia dan laporan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital telah kita peroleh dan kertas siasatan telah diangkat hari ini kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, untuk mendapat keputusan seterusnya.

“Saya percaya pihak Pengarah Pendakwaan Negeri akan mengangkat pula perkara itu ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.

“Jadi kita masih menunggu. Laporan itu kita terima pada Isnin,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak bulan Ogos di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jelapang pada 8 Julai lalu dengan mendakwa dirinya dirogol oleh EXCO berkenaan di rumah majikannya itu di Meru.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes samun barang kemas bernilai lebih RM 1 juta yang dilarikan empat perompak bersenjata di Jalan Chin Hwa, di sini, pada Isnin.

“Kita masih menjalankan siasatan kes berkenaan. Kita masih giat mengesan suspek. Namun kita yakin bahawa kita akan berjaya mengenal pasti mereka dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");