Berita Hari Ini

Khat Sepatutnya Elektif, Bukan Wajib – Rafidah

PUTRAJAYA: Tan Sri Rafidah Aziz berkata, pengenalan tulisan khat yang dijadual diperkenalkan di semua sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) tahun depan, wajar dijadikan sebagai elektif dan bukannya subjek teras.

Memetik laporan BH Online, pemimpin veteran yang pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Ketua Wanita UMNO itu berkata, khat adalah seni yang tidak sepatutnya dijadikan sebagai sesuatu yang wajib untuk dipelajari pelajar.

“Setahu saya, khat ini bukan bahasa, subjek atau apa saja, ia adalah kaligrafi sama seperti kaligrafi Cina yang dibuat menyambungkan huruf atau perkataan yang akhirnya menjadi grafik.

“Ia ada seni. Persoalannya di sini, adakah mereka (Kementerian Pendidikan) mahu menjadikan ia wajib atau elektif? Jika sebagai elektif, tiada masalah kerana memang ada yang berminat dengan seni halus seperti ini.

“Jangan jadikan ia wajib dan membebankan pelajar. Jangan tambah masalah lagi. Itu yang saya mahu, jadikan kaligrafi sebagai perkara wajib untuk dipelajari pelajar, itu perkara paling merepek untuk dibuat.

“Kita ada banyak lagi perkara lain perlu dipelajari. Jika mahu diperkenalkan, jadikan ia elektif dan kita alu-alukan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Faktor Menghalang Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana Untuk Mengatasinya sempena Siri Seminar Perdana Kali ke-21 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Rafidah mengulas mengenai keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa

Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 di SK dan SJK tahun depan.

Kementerian Pendidikan dalam set soalan lazim semalam menjelaskan pengenalan tulisan khat sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.

Sementara itu, Rafidah berkata, beliau ada menghubungi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung perkara berkenaan dan sudah menyatakan pendiriannya, tetapi enggan mengulas lanjut secara terperinci mengenainya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");