Perak Hari Ini
Like

Komuniti Orang Asli Pos Piah Buat Laporan Polis, Dakwa Pembalak Berikan Wang

August 20, 2019
483 Views
0 Comments
2 minutes read
Komuniti Orang Asli Pos Piah Buat Laporan Polis, Dakwa Pembalak Berikan Wang

IPOH: Komuniti Orang Asli dari Kampung Pos Piah Sungai Siput mendakwa telah menerima ‘wang saguhati’ berjumlah RM1150 daripada sebuah syarikat pembalakan yang menjalankan aktiviti pembalakan di kampungnya.

Pengerusi Jaringan Orang Asli Kampung Pos Piah, Najib Alang, mendakwa wang tersebut diberikan oleh seorang penyelia syarikat tersebut yang dikatakan bernama ‘Afiq’ bersama-sama seorang lagi ‘tauke’ pada 4 Ogos lalu di kampungnya.

Dikatakan ia dilakukan selepas pihak syarikat pembalak tersebut selesai membawa mereka ke Pahang bagi melihat projek perladangan durian Musang King, pada tarikh yang sama.

Menurut Najib, Afiq berkata bahawa duit tersebut adalah sebagai wang perbelanjaan kepada penduduk kampungnya yang terdiri daripada kira-kira 100 orang.

Katanya beliau dan penduduk yang lain meragui akan niat sebenar pihak syarikat pembalak atas pemberian wang tersebut.

“Semasa dia beri duit itu, saya menolak. Tetapi kemudian dia memberikan kepada saya secara paksa.

“Kami hairan kerana sebelum ini, tidak ada pun sebarang hadiah berbentuk wang seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Ekoran perkara tersebut, Najib bersama sekumpulan komuniti Orang Asli Pos Piah yang lain pagi tadi tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, hari ini.

Katanya, laporan polis yang kedua itu dibuat bertujuan meminta bantuan pihak polis untuk menyerahkan kembali wang yang diterima mereka kepada pihak syarikat pembalak tersebut.

Ujarnya laporan polis pertama telah dibuat pada 5 Ogos lalu di IPD Sungai Siput.

Sementara itu, Pegawai Lapangan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) Shazni Bhai yang turut hadir bersama-sama mereka berkata sekiranya pihak polis tidak dapat membantu mereka, Komuniti Orang Asli Pos Piah meminta pihaknya untuk membantu dalam menyerahkan semula wang tersebut.

“Kami harap dengan laporan polis ini pihak polis dapat membantu dari segi memudahkan proses pemulangan semula wang tersebut.

“Sekiranya tidak, Najib telah meminta kami, pihak KUASA dapat membantu, menjadi orang tengah untuk selesaikan perkara ini. Duit itu memang mereka tidak mahu terima,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada sesi pertemuan antara Afiq dengan pihak KUASA pada masa akan datang.

Komen & Pendapat

Comments are closed.