Berita Hari Ini

Lif Terhempas Tak Patut Berlaku – Khalid

KUALA LUMPUR – Siasatan punca kejadian lif terhempas dari tingkat lima Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Pantai Dalam di sini akan disemak terlebih dahulu sebelum cadangan penggantian kemudahan itu diputuskan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan segera dengan mengarahkan siasatan dan pemeriksaan menyeluruh ke atas lif lama di kawasan lain dilakukan bagi mengelak insiden berulang.

Menurutnya, kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku selepas rekod penyelenggaraan lif yang digunakan sejak 2007 itu dalam keadaan baik dan Sijil Permit Mesin Angkat (PMA) sah sehingga Januari 2020.

“Secara teori, kejadian ini tak sepatutnya berlaku disebabkan lif ada sistem keselamatan terutama sistem brek yang akan berfungsi apabila lif dalam keadaan laju tetapi sistem itu tidak berfungsi ketika kejadian.

“Setahu saya, sistem mekanikal ini berfungsi tanpa sokongan bekalan elektrik. Jadi, saya nak tahu sebab kejadian,” katanya selepas melawat mangsa di PPR Kerinchi Pantai Dalam, di sini, hari ini, lapor Sinar Harian.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menjelaskan, beliau masih menunggu laporan siasatan yang akan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bersama kumpulan profesional termasuk pengeluar lif dari Korea Selatan itu.

“Siasatan dijangka mengambil masa selama beberapa hari bagi mendapatkan maklumat penuh analisa sistem dan punca kejadian.

“Tak boleh nak menyalahkan mana-mana pihak. Saya minta supaya semua pihak tidak membuat sebarang andaian dan tunggu sehingga siasatan selesai,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.36 petang semalam, lapan mangsa terdiri enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selepas lif yang berada di tingkat lima terjatuh terhempas.

Empat lelaki mengalami kecederaan patah kaki, manakala selebihnya mengalami kecederaan bahagian pergelangan kaki.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");