Berita Hari Ini

Lynas Belum Membuat Permohonan Tapak PDF

KUANTAN: Kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), di Gebeng, di sini, belum membuat permohonan secara spesifik mengenai Kemudahan Tapak Pelupusan Kekal (PDF).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata belum ada perbincangan dan permohonan berhubung tapak baharu itu yang dikemukakan kepadanya.

“Setakat ini tidak ada perbincangan dengan saya berhubung tapak baharu itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) pada sesi soal jawab Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada aspek keselamatan rakyat sebelum membuat keputusan dan tidak akan membuat keputusan semberono.

Meskipun ada dakwaan yang mengatakan terdapat lima kawasan yang sudah dikenal pasti iaitu di Lepa, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini, namun, katanya belum ada permohonan yang dibuat.

Ketika menjawab soalan tambahan Lee Chin Chen (DAP-Bilut) sama ada kerajaan negeri akan memberi kebenaran jika terdapat permohonan, Wan Rosdy berkata, pihaknya perlu mendengar pandangan pakar sebelum memberikan kelulusan dan kebenaran.

“Lynas ini cadangan daripada kerajaan persekutuan dan dibina di sini. Minta dulu dan kerajaan negeri akan beri perhatian kepada aspek keselamatan rakyat terlebih dahulu.

“Andai tidak mendatangkan masalah kepada rakyat dan tidak berbahaya, kita akan berikan kebenaran. Kita perlu dengar cakap pakar dan sudah pasti tidak ada kerajaan negeri yang akan buat keputusan tanpa penelitian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");