Membawang Hari Ini
Like

‘Maafkan Saya Sherry…’

August 20, 2019
340 Views
0 Comments
2 minutes read
‘Maafkan Saya Sherry…’

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mark Adam, kesal kerana tidak peka apabila menjadikan saiz badan pengacara, Sherry Alhadad sebagai subjek gurauan pada konsert pertama Big Stage, malam kelmarin hingga mengundang kecaman warganet.

Mark atau nama lengkapnya Fikri Mark Adam Abdullah, 40, berkata, dia tidak menyangka gurauan yang dianggap biasa itu mengecewakan hati ramai peminat, malah turut mengguris perasaan Sherry.

“Saya meminta maaf kepada semua pihak yang terasa dengan kata-kata saya itu. Begitulah saya apabila bergurau, seolah-olah seperti berada di rumah hingga tidak sedar, ia sebenarnya mengguris perasaan orang lain.

“Saya akui, saya terlanjur kata. Saya langsung tidak berniat menghina Sherry atau sesiapa sahaja kerana kami selalu bergurau. Apa yang berlaku pada malam kelmarin, di luar batas profesional dan saya menyesal. Maafkan saya,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Mark selaku juri jemputan ketika memberi ulasan terhadap peserta program itu, Chaleeda Gilbert mengakui, penyanyi itu memiliki peluang besar, namun turut mengaitkan fizikal Sherry dalam komennya.

“Lihat, peluang ini sangat besar. Malah, hos pun besar,” katanya bergurau, namun Alif Satar sebagai pengacara bersama, pantas menyelamatkan keadaan dengan mengakui, gandingannya itu memiliki bakat besar.

Sementara itu, Mark yang juga finalis Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 berkata, sepanjang tujuh tahun menjadi penyanyi, ia pengalaman pertama dia berdepan dengan isu panas.

“Saya perlu lebih berhati-hati menjaga pertuturan, terutama ketika terbabit dalam program secara langsung. Bimbang nanti disalah anggap dan menyebabkan orang lain terasa.

“Saya sudah meminta maaf pada Sherry dan dia ada memberi nasihat. Insya-Allah, saya akan perbaiki kelemahan dan berjanji kesilapan seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.