Berita Hari Ini

‘Mak Andam’ Tak Solat Jumaat Didenda RM2,600

KUALA TERENGGANU: Seorang ‘mak andam’ dikenakan hukuman denda RM2,600 di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini kerana tidak solat Jumaat, April lalu.

Malah, menurut BH Online, tertuduh yang berusia 36 tahun itu turut berdepan dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Mohd Fakhruddin Yusof membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2016 kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditangkap di sebuah rumah di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga selesai solat Jumaat, pada 26 April lalu.

Dengan itu, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap oleh pihak Penguatkuasa Syariah yang melakukan pemantauan di lokasi terbabit selepas menerima maklumat berhubung individu yang melakukan kesalahan tidak menunaikan sembahyang Jumaat.

Sepanjang pemantauan bermula jam 12.30 tengahari hingga 2.04 petang, Pegawai Penguat Kuasa Syariah wanita mendapati penghuni kediaman berkenaan tidak keluar untuk menunaikan sembahyang Jumaat.

Susulan itu, pegawai penguat kuasa memeriksa kediaman terbabit selepas selesai solat Jumaat dan mendapati pintu utama rumah berkunci dari dalam.

Selepas pegawai penguat kuasa memberi salam, didapati pintu kediaman berkenaan dibuka oleh tertuduh.

Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit adalah seorang yang mukallaf dan tiada sebarang alasan diharuskan oleh hukum syarak untuk tidak menunaikan sembahyang Jumaat pada hari berkenaan.

Susulan itu, lelaki terbabit dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam mahkamah sama juga empat lagi lelaki berusia antara 30 hingga 45 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan sama.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan mereka dibebaskan dengan jaminan RM1,500 bersama seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Abdullah manakala kesemua mereka tidak diwakili peguam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");