Sukan Hari Ini

Malaysia Tewas 1-0 Kepada Jordan

KUALA LUMPUR – Kesilapan benteng pertahanan pada awal perlawanan menyebabkan skuad Harimau Malaya terpaksa berputih mata apabila tewas 1-0 kepada Jordan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Menurut Kosmo Online, kekalahan kepada pasukan ranking ke-99 dunia itu merupakan satu pengajaran untuk memperbaiki kelemahan menjelang pertemuan dengan Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, Khamis depan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe menampilkan aksi meyakinkan apabila berjaya memberi tentangan sengit kepada pasukan dari Timur Tengah itu kecuali kesilapan kecil gagal mengawal gerakan kapten Jordan, Said Morjan dalam kawasan kotak penalti.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu dengan mudah membolosi gawang gol negara apabila menyudahkan jaringan tunggal hasil hantaran rakan sepasukan untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit keenam.

Gol pembukaan tersebut meniupkan semangat pasukan pelawat yang turun tanpa beberapa pemain utama dan hampir menambah jaringan pada minit ke-18 apabila rembatan Saleh Rateb berjaya dihalang oleh pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya memperkemaskan benteng pertahanan dan bahagian tengah namun barisan penyerang gagal menghasilkan corak serangan yang berkesan sehingga percubaan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-40 tersasar.

Skuad negara kembali ke babak kedua perlawanan dengan menyusun strategi dan hampir menyamakan kedudukan menerusi penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha namun rembatannya, hasil umpanan Muhammad Safawi, berjaya ditepis penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila.

Sekali lagi, skuad negara terlepas peluang untuk mencari gol penyamaan apabila rembatan pemain JDT, Ahmad Hazwan ditepis oleh Yazeed pada minit ke-63.

Dalam usaha mencari keserasian dan kesebelasan utama ke Jakarta, Cheng Hoe membuat pertukaran enam pemain dengan membawa masuk Muhammad Syafiq Ahmad, J. Partiban, Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Shahrel Fikri, Muhammad Akram Mahinan dan Muhammad Syahmi Safari sepanjang tempoh 90 minit perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, Jordan pernah mengalahkan Indonesia 4-1 pada aksi persahabatan, Jun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");