Perak Hari Ini

MB Perak Sambut Baik Keputusan Paul Yong Untuk Bercuti

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyambut baik keputusan Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang memutuskan untuk bercuti daripada menjalankan sebarang bentuk tugas-tugas rasmi sebagai Exco.

Kata Ahmad Faizal, ekoran daripada perkara tersebut, buat sementara waktu ini beliau akan memangku semua tugas portfolio yang berada di bawah Adun Tronoh itu.

“Portfolio beliau akan berjalan seperti biasa. Sebagai contoh, beliau adalah Exco Perumahan Perak, namun pada masa sama, saya adalah Pengerusi kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

“Jadi, tidak ada sebarang masalah. Ia boleh berjalan seperti biasa. Saya boleh pikul tanggungjawab tersebut dan portfolio lain, saya juga akan pegang buat sementara waktu.

“Walau bagaimanapun, sekarang ini saya kira kita tidak perlu meletakkan satu jangka masa. Biar dia memberi fokus kepada kes yang dihadapi beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Paul Yong membuat keputusan untuk bercuti daripada menjalankan sebarang tugas sebagai Exco Kerajaan Negeri, bagi memberi fokus kepada perbicaraan yang dihadapinya berhubung tuduhan merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata walaupun Paul Yong membuat keputusan sedemikian namun pentadbiran kerajaan negeri tetap mampu berfungsi seperti biasa dan kemas selain berpandangan bahawa tidak perlu berlaku sebarang perubahan atau rombakan Exco Kerajaan Negeri.

Selain itu, ketika diminta mengulas tentang penangguhan Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco Kerajaan Negeri, Menteri Besar berkata ia di luar daripada bidang kuasa beliau.

“Saya ‘tidak nampak’ lagi bila ia akan diadakan. Baru-baru ini saya ada pergi menghadap Sultan Perak untuk berbincang perkara-perkara berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

“Namun, perkara berkenaan upacara angkat sumpah tidak dibangkitkan,” katanya.

Pada perkembangan berasingan, Menteri Besar menyambut baik seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggesa agar unit integriti badan tersebut dapat ditempatkan di semua Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri di seluruh negara.

Kata Ahmad Faizal sewaktu beliau mula-mula memasuki pejabat Menteri Besar, seorang pegawai unit tersebut telah pun ditempatkan di pejabatnya.

Namun ujarnya oleh kerana pegawai tersebut kini sudah dinaikkan pangkat dan dipindahkan, beliau akan berbincang dengan SPRM berhubung perkara berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");