Berita Hari Ini

Mengaitkan Minyak Sawit Dengan Penebangan Hutan Tidak Berasas – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Dakwaan mengaitkan minyak sawit dengan penebangan hutan adalah tidak berasas sama sekali, tidak adil dan tiada justifikasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Malaysia telah dituduh meletakkan keperluan kepada pembangunan di hadapan keperluan untuk menjaga hutan dan isu penebangan hutan untuk penghasilan minyak sawit adalah isu yang seringkali diperjuangkan oleh para pengkritik kita,” kata beliau.

Beliau berkata dakwaan-dakwaan itu memberi impak negatif kepada Malaysia yang sangat bergantung kepada minyak sawit untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat untuk membolehkan Malaysia mencapai Matlamat-matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Ia juga mempunyai kesan buruk yang besar kepada pengusaha tanaman kelapa sawit termasuk 650,000 pekebun kecil selain seramai 1.5 juta orang lagi yang bekerja dalam rantaian bekalan minyak sawit.

“Hakikatnya ialah industri minyak sawit di Malaysia telah dibangunkan secara mampan dan bertanggungjawab … kerajaan, dalam mematuhi SDG telah melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan industri itu tidak menyebabkan kemerosotan alam sekitar selain mengelakkan amalan-amalan yang tidak mampan seperti kemusnahan hutan dan habitat hidupan liar,” katanya semasa berucap merasmikan pameran ‘Hutan Kita’ di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini, lapor Bernama.

Pameran ‘’Hutan Kita’ – Journey Through Our Rainforest” itu diadakan di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur dari 24 Ogos hingga 22 Sept, dianjurkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Dr Mahathir berkata industri minyak sawit Malaysia sedang memberi fokus kepada peningkatan produktiviti dan hasil, berbanding memperluaskan kawasan bagi mengelak penebangan hutan dan pertukaran guna tanah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Selain itu, katanya, sekatan terhadap penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut selain di kawasan Hutan Simpan Kekal juga telah dikuatkuasakan.

“Sejajar dengan langkah-langkah tersebut di atas, kerajaan juga telah menetapkan had maksimum kawasan penanaman kelapa sawit kepada 6.55 juta hektar menjelang 2023. Adalah amat menggalakkan Sarawak mengenakan moratorium ke atas tanah negeri bagi tujuan penanaman kelapa sawit yang tidak membenarkan penanaman baharu kelapa sawit atas tanah kerajaan negeri termasuk tanah gambut.

“Malaysia amat berbangga untuk berkongsi dengan dunia beberapa amalan mampan kita. Malaysia telah memperkenalkan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada 2013 dan akan menjadikannya mandatori bermula 1 Jan 2020,” kata beliau.

Beliau berkata pensijilan itu telah menangani kebimbangan global mengenai penghasilan minyak sawit yang mampan secara tuntas dan jelas, termasuk kehilangan biodiversiti, pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan kemusnahan habitat hidupan liar.

Sementara, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak memungkiri ikrar yang dibuatnya pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada 1992 bahawa negara ini komited untuk mempertahankan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanahnya diliputi hutan.

“Hutan Malaysia kini meliputi 55.3 peratus daripada 18.28 juta hektar jumlah keseluruhan tanah di negara kita, melebihi komitmen asal Malaysia yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi Rio semasa saya menjadi Perdana Menteri pada waktu itu.

“Ini melambangkan keazaman dan komitmen negara untuk memastikan kita memelihara hutan kita, flora dan faunanya secara mampan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata tidak seperti banyak negara lain yang bergantung kepada sumber-sumber asli yang terhingga seperti bahan api fossil atau sumber galian, Malaysia telah dirahmati dengan sumber-sumber yang boleh diperbaharui, yang diurus dengan teliti, yang akan terus memberi hasil kepada negara sampai bila-bila.

Beliau berkata Malaysia telah mengambil langkah-langkah komprehensif untuk memastikan pembangunan ekonomi negara tidak sepatutnya mengorbankan sumber-sumber aslinya.

Dr Mahathir menambah dengan melaksanakan program-program pembasmian kemiskinan, pengurusan dan perlindungan perhutanan negara yang kaya dengan biodivesiti, Malaysia telah berusaha keras dalam memastikan pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan secara seiring.

“Selain daripada itu, walaupun Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengelak kemusnahan hutan, kita masih menghadapi cabaran-cabaran daripada usaha-usaha pembangunan untuk memenuhi keperluan sosioekonomi kita.

“Jumlah penduduk Malaysia yang meningkat turut membawa kepada peningkatan permintaan kepada makanan, air, dan infrastruktur yang turut memberi tekanan kepada hutan-hutan kita,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata sebagai sebuah negara antara yang mempunyai biodiversiti yang tinggi, Malaysia amat serius berpegang kepada komitmen terhadap pemuliharaan dan sangat berbangga menjadi penandatangan kepada satu senarai menyeluruh perjanjian global berkaitan pemuliharaan, hidupan liar, perhutanan dan alam sekitar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");