Berita Hari Ini

MTUC Mahu Gaji Minimum Dinaikkan Atasi Kemiskinan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kadar gaji minimum dinaikkan secara ketara bagi menangani masalah kemiskinan di negara ini.

Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata kerajaan mesti berhenti memberi alasan kononnya langkah sedemikian hanya akan menambah inflasi, sedangkan hakikatnya gaji minimum bulanan RM1,100 tidak mencukupi untuk sara hidup.

“Hujah yang sering diguna oleh majikan (bahawa ia akan menambah inflasi) tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Solomon berkata kerajaan boleh memperbetulkan keadaan itu dengan menokok gaji minimum kepada kadar mampu menampung keperluan sara hidup pada Belanjawan 2020, dijangka dibentang Oktober ini.

Beliau mengulas laporan hasil rumusan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Philip Alston berhubung kemiskinan tegar di Malaysia.

Alston menyebut angka rasmi kerajaan mengenai tahap kemiskinan negara tidak mencerminkan realiti sebenar kerana bersandarkan kaedah pengiraan lapuk dan gagal mengambil kira realiti semasa.

Solomon berkata, MTUC juga mendesak kerajaan mengambil serius rumusan pakar PBB itu dan tidak harus menutup kebenaran serta mendabik dada dengan mendakwa kemiskinan tegar di Malaysia hanya 0.4 peratus, namun hakikatnya rakyat masih hidup dalam kemiskinan ketara.

Beliau berkata, hasil rumusan Alston itu selaras dengan pendirian MTUC bahawa kerajaan gagal menggunakan faktor yang nyata dan terkini dalam membuat kajian mengenai kadar kemiskinan di kalangan penduduk.

“Jika perbezaan PBB itu hanya satu atau dua peratus berbanding 0.4 peratus di bawah Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang diguna pakai oleh kerajaan, maka angka kerajaan itu boleh diterima.

“Tetapi hasil kajian Pelapor Khas PBB itu mendedahkan tahap kemiskinan ketara di Malaysia adalah antara 15 peratus hingga 20 peratus. Ini bermakna sekurang-kurangnya lima juta pekerja Malaysia hidup di bawah paras kemiskinan,” katanya.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh pakar PBB itu, katanya langkah kerajaan menetapkan pendapatan bulanan RM980 sebagai PLI tidak masuk akal khususnya di kawasan bandar.

“Upah sebegitu jauh daripada mencukupi untuk menyara sesebuah keluarga. Realitinya di mana-mana negara sekalipun, soal kemiskinan adalah terikat kepada tahap gaji pekerja,” katanya.

Beliau berkata sesuatu yang ‘memalukan’ bagi Malaysia apabila selama ini menggunakan kadar kemiskinan tersasar untuk memberi gambaran serong kepada dunia dan rakyat Malaysia sendiri.

“Penggunaan data sedemikian bermaksud ramai pekerja yang terperangkap dalam kancah kemiskinan dinafikan pembelaan dan pengagihan adil kemakmuran negara,” kata beliau.

Solomon berkata, hasil rumusan PBB itu petanda jelas dasar-dasar ekonomi sebelum ini tidak realistik dan hanya menyebabkan pengagihan tidak adil dalam pendapatan dan kemakmuran negara.

Beliau juga mahu kerajaan peka dengan rungutan pekerja dan kesatuan mengenai keperluan memastikan upah yang diberi oleh majikan berupaya menampung kos sara hidup.

“Kita tidak lagi boleh menerima amalan ahli politik menggunakan sistem lapuk untuk mengeluarkan data dan angka dengan niat memuaskan agenda sempit majikan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");