Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Elak Ulas Sokongan Pembangkang Pada Dr M

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengelak memberikan komen terhadap sokongan pembangkang terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri untuk menghabiskan penggal ini.

Muhyiddin sebelum itu mengulas soalan yang diajukan oleh pemberita mengenai usaha jabatan penjara untuk memulihkan banduan melalui latihan dengan syarikat swasta.

Namun, apabila ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa pembangkang akan berusaha mengekalkan Mahathir sehingga akhir penggal atau sehingga negara stabil, Muhyiddin hanya tersenyum.

“(Saya) nak cakap pasal (program) penjara sahaja,” kata Muhyiddin sebelum menuju ke keretanya.

Pada 27 Julai lalu, Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS dan Umno mahu memberikan sokongan kepada Mahathir sehingga penggalnya tamat.

Abdul Hadi juga dilaporkan berkata Mahathir tidak wajar dipaksa melepaskan jawatan sebagai perdana menteri kerana beliau telah memimpin Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu dan dipilih majoriti rakyat.

Anggota Parlimen Marang itu turut berkata Bersatu yang dipimpin oleh Mahathir wajar dikekalkan kerana parti berbilang kaum dalam PH tidak mempunyai “ciri-ciri kepimpinan Islam”.

Kenyataan Abdul Hadi itu berbeza dengan konsensus PH yang memutuskan akan menyerahkan tugas perdana menteri kepada Anwar Ibrahim sebelum penggalnya berakhir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");