Berita Hari Ini

Muhyiddin Gesa Syarikat Swasta Tawar Latihan Amali Bagi Banduan Diparol

KAJANG: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menggesa syarikat swasta bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk menawarkan latihan amali kepada banduan diparol supaya mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman apabila kembali kepada masyarakat serta membantu mengelakkan kesesakan di penjara.

Katanya, program itu akan memanfaatkan syarikat yang memerlukan tenaga kerja terlatih kerana mereka tidak lagi perlu bergantung kepada pekerja asing.

Beliau berkata, bayaran akan berdasarkan gaji minimum dan syarikat terbabit boleh mendapat insentif cukai.

“Dengan kemahiran yang diperolehi, ODP (orang diparol) berpeluang mendapatkan pekerjaan tetap apabila dibebaskan.

“Saya berharap lebih banyak syarikat swasta tampil mengambil bahagian dalam program yang amat besar manfaatnya ini,” katanya pada perasmian Program Latihan Pintar Korporat (CSI) untuk banduan diparol di ibu pejabat Jabatan Penjara di sini, hari ini.

Program CSI diperkenalkan Jabatan Penjara pada 2016 sejajar matlamat Jabatan Penjara untuk memastikan 2/3 banduan menyertai program pemulihan luar tembok menjelang 2030.

Muhyiddin berkata, seramai 2,928 banduan diparol mendapat manfaat daripada program itu yang membabitkan 80 syarikat swasta dalam bidang pertanian dan pembuatan.

Pada 2017, 576 banduan diparol menyertai program itu membabitkan 4 syarikat di 4 negeri dan ia meningkat kepada 695 peserta dengan 57 syarikat di 103 lokasi di 13 negeri tahun ini.

Antara syarikat itu adalah Yayasan Pahang, Sime Darby Plantations, Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd, Lypometal Sdn Bhd, Hup Chong Furniture Sdn Bhd dan Felcra.

Hari ini, Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti jika ia sudah menjadi amalan untuk peserta program CSI memakai peranti pemantauan elektronik (EMD) bagi memantau pergerakan mereka.

Beliau berkata, langkah itu boleh memastikan banduan diparol tidak melanggar Akta Penjara 1955 atau sebarang syarat untuk parol mereka.

Katanya, beliau dimaklumkan Jabatan Penjara bersedia menghadapi cabaran reformasi penjara yang membabitkan penambahbaikan dalam aspek penahanan, pematuhan piawaian layanan, pemulihan, latihan kakitangan, kemudahan pemulihan dan penyepaduan semula.

Beliau berkata, reformasi penjara itu dapat membantu mengelakkan bekas banduan kembali kepada kehidupan lampau, mengurangkan kesesakan dan kos pengurusan penjara.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");